Memandangkan pertama kali menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan, Lee Seong Yong terkedu dan tidak mampu menjawab soalan mengenai sambutan Syawal. Malah, dia akui tidak pernah mendengarnya lagi.
“Sambutan Syawal? Apa tu? Maaf saya tidak tahu apa-apa tentang Syawal. Boleh tolong jelaskan apakah sambutan Syawal yang dimaksudkan itu? InsyaAllah, saya akan belajar lagi tentang ilmu Islam dan ambil tahu tentang Syawal,” katanya.
Dalam pada itu, Yong tidak boleh menyembunyikan perasaan gembiranya apabila terpilih dan dijemput Allah untuk menunaikan umrah walaupun dia masih baru sebagai umat Islam.
“Sebenarnya, saya rasa sangat bersyukur dan bertuah dapat mengerjakan umrah. Kunjungan saya ke sana telah dijemput Saudi Muslim Missionary Group. Apabila tiba di sana, saya telah menyucikan diri dan terus ke Mekah. Kemudian saya juga ke Madinah dan melawat tempat-tempat sejarah Islam di sana.
“Saya telah berkunjung banyak masjid di sana. Saya juga berjumpa ramai orang Islam. Kami banyak bercakap dan berborak tentang Islam. Saya bukan saja dapat mengerjakan umrah, saya rasa hidup saya bertuah dan telah dijadualkan untuk menjadi seorang Muslim.
“Saya sedar dan banyak timba ilmu di sana. Dalam fikiran saya, saya perlu menjadi seorang muslim yang bagus dan berguna,” jelasnya.
Menyentuh tentang wabak Covid-19 di Korea Selatan, Yong ternyata amat takut untuk mengunjungi masjid kerana ia mudah merebak dalam keadaan ramai orang.
“Di Korea, Corona Virus merebak luas dan dikatakan berpunca dari tempat agama. Jadi, seandainya ada infection COrona di Masjid, Orang Islam Korea akan menghadapi kesukaran. Untuk itu, saya lebih berhati-hati dan tidak pergi ke Masjid untuk sepanjang penularan wabak ini,” katanya.
Menyedari ramai orang berminat dan ambil tahu tentang Muslim Korea, Yong tersenyum lebar apabila ada wanita mengatakan dia mempunyai rupa paras seperti bintang K-Pop dan pelakon drama Korea.
“Terima kasih banyak-banyak. Saya hanya mampu senyum dan tertawa apabila orang memuji saya. Sejujurnya, saya ni tidaklah sekacak mana pun, tapi saya ada daya tarikan sendiri. Betul tak?
“Saya hanya menjadi diri saya saja. Saya seorang yang natural saja. Lelaki Korea yang biasa saja. Kalau saya Oppa Muslim, ramai juga Oppa Church di Korea.
“Saya rasa terkejut ramai wanita muslim berminat berkenalan dan mahu teman lelaki mahupun pasangan hidup dari kalangan lelaki Korea Islam . Saya akan berhati-hati dengan budaya baru ini. Saya rasa budaya ini boleh membantu lebih ramai lelaki Korea menganut agama Islam.
“Terus-terang, saya memang ramai kawan Muslim. Namun, saya sebenarnya tiada kawan muslim Korea. Daud Kim pun baru saya kenal dan hanya sekali bertemu dia. Saya kenal dia pun menerusi saluran Youtubenya,” jelasnya.