‘Forever Ahmad Bogum’: Innuendo Setuju Park Bogum Rakam Belaian Jiwa Versi Korea!

Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu? Itulah luah rasa salah seorang ahli kumpulan Innuendo iaitu Pot Amir yang begitu terharu dan rasa bertuah apabila aktor popular Korea, Park Bogum memilih lagu Belaian Jiwa untuk menghiasi persembahan National Boyfriend buat peminat Malaysia di KLCC, petang Sabtu lalu.

 

Pot Amir (kanan) memuji Park Bogum.

 

Rasa tuah tersebut dirasainya apabila nyanyian Belaian Jiwa Bogum menjadi tular sehingga membuatkan lebih ramai anak muda terutama sekali peminat K-POP mula meminati lagu yang dirakamkan oleh kumpulan Carefree pada 1979. Dalam pada itu, Innuendo yang mempopularkan lagu ini kini dianggotai oleh Pot Amir, Taj Addin dan Sam tertanya-tanya, siapakah tulang belakang yang membuatkan Bogum memilih lagu tersebut untuk dinyanyikan secara bersahaja diiringi muzik piano saja.

 

Gambar terkini Innuendo.

 

“Lagu ini sangat besar. Melodi dan liriknya mampu merentas generasi dari generasi. Di Malaysia, Belaian Jiwa adalah lagu pilihan karaoke bukan saja untuk orang Melayu tetapi menjadi pilihan lagu wajib karaoke bagi kaum Cina, India dan semua lapisan masyarakat. Mungkin, ini juga menjadi penyebab Bogum memilih lagu ini dan kami ucapkan ribuan terima kasih kerana menghargai anugerah ini,” jelas Pot.

 

Park Bogum kekal dihati Innuendo.

 

Mengakui menonton persembahan Belaian Jiwa Bogum di Youtube, Pot menyangkakan National Boyfriend ini adalah seorang penyanyi profesional dari Korea.

“Nyanyian Bogum begitu bersahaja. Sekali dengar dan tonton video itu, saya tidak menyangka dia merupakan seorang aktor hebat dari Korea bukannya penyanyi. Malah, saya amat memuji Bogum kerana bermain piano dengan sangat baik sekali. Saya betul-betul ingat dia seorang penyanyi dan bukannya pelakon. Lagi pula, saya kurang mengenali Bogum tetapi kini tidak lagi,” kata Pot.

 

Adakah hasrat Innuendo berjumpa Bogum tercapai?

 

Tambah istimewa, Pot menyamakan bakat Bogum seperti Tan Sri P.Ramlee yang mana bukan saja hebat sebagai pelakon tetapi hebat sebagai penyanyi dan pemuzik.

 

“Kalau saya pejam mata dan hanya mendengar saja, saya akan ingat lagu tersebut dinyanyikan oleh orang Malaysia bukan berbangsa Melayu. Sebutan dia seperti tipikal orang Malaysia dan tidak seperti warga asing,” ujarnya.

 

Carefree penyanyi asal Belaian Jiwa.

 

Sementara itu, mewakili ahli Innuendo yang lain, Pot bersetuju seandainya Bogum atau mana-mana penyanyi dari Korea yang ingin merakamkan semula Belaian Jiwa dalam versi Korea.

 

 

Sekitar persembahan Park Bogum.

“Saya bukanlah penulis lagu ini tapi saya impikan sayalah penulis lagu ini. Namun, saya adalah orang yang mencadangkan Innuendo untuk nyanyikan semula lagu ini dalam nafas baru. Terus-terang, sebagai seorang singer songwritter, saya yakin pencipta asal iaitu Simon Justin Leo dan Nana Pawan Chik turut sama mengalu-alukan lagu ini dirakam dalam pelbagai bahasa terutama sekali bahasa Korea.

 

“Ini kerana melodi lagu ini sangat lembut dan sesuai untuk didengari seluruh Asia. Lagu ini merupakan Anugerah Tuhan melalui hambanNya iaitu Simon dan Nana dari Carefree. Lagu yang merentas semua generasi dan sebuah warkah dalam menyatukan silaturahim sesama insan.

 

“Saya bangga dengan Park Bogum. Tahniah saya ucapkan. Forever Ahmad Bogum akan sentiasa berada di hati rakyat Malaysia tertutama sekali kami Innuendo. Saya juga yakin Carefree mempunyai pendapat yang sama. Mungkin jika ada rezeki, satu hari Innuendo boleh berkolaborasi dengan Bogum dan bertemunya sekaligus merapatkan silaturahim semua generasi sekurang-kurangnya di Malaysia,” bicara Pot.

 

 

 

Innuendo pada asalnya dianggotai oleh empat penyanyi namun salah seorang daripadanya iaitu Reymee Hussein telah bersara dari seni muzik. Innuendo bakal mengadakan comeback dan bakal menyertai Ruff-Jam Concert di KL.JAMM pada 28 April 2019, jam 9 malam.

 

 

 

“Dulu kami berempat yang mana salah seorang ahli Innuendo berdarah kacukan Jepun. Kini kami bertiga tetapi sekarang kembali berempat selepas ada Ahmad Bogum dari Korea,” gurauan Pot yang teruja menonton nyanyian Bogum.

 

 

 

Ini adalah persembahan penuh Park Bogum mendendangkan lagu Belaian Jiwa.

 

Kongsikan artikel ini