Park Soohan atau nama Islamnya Jawhar terdiam seribu bahasa apabila diberitahu tentang sambutan Aidilfitri di Malaysia yang begitu meriah dan unik. Walaupun dilahirkan sebagai seorang Muslim, Soohan yang bekerja tetap dan busking secara sambilan di Korea tidak pernah rasa nikmat sambutan Syawal yang diraikan selama sebulan di Malaysia.
Jejaka kacak yang mempunyai iras wajah pelakon tempatan, Aiman Hakim dan Gambit Saifullah ini turut terkedu apabila Malaysia mempunyai lagu-lagu raya yang sedap didengar dan dicipta khas untuk menyambut kedatangan Syawal. Menurut beliau, sejak lahir sehingga kini, barulah dia tahu akan kewujudan lagu Aidilfitri.
Walaupun tidak menyanyikan lagu Raya, Soohan berjanji akan mula mempelajari lagu-lagu yang dicipta khusus untuk sambutan Aidilfitri. Namun, pada malam itu, Soohan tidak mengecewakan penonton Oppa Raya House dengan mendendangkan sebuah lagu Korea popular sambil bermain gitar.
Lebih menarik, persembahan Soohan diserikan dengan penutup yang tidak dirancang kerana adiknya iaitu Prince Jihan atau Muhammad muncul menyanyi bersama secara langsung. Penonton dan rakan selebriti yang lain gembira dengan kemunculan yang dianggap manis dan comel itu.
Sepanjang siaran langsung itu, Soohan mendapat perhatian ramai apabila sangat aktif dalam segmen permainan. Malah, dia juga berjaya menjawab pelbagai soalan berkaitan Raya dalam bahasa Melayu.
Untuk menonton aksi lucu dan comel Soohan bersama Sam Carter, Jacob Choi, Keyin dan Hyunmin-A, anda bolehlah menonton siaran ulangan Oppa Raya House di laman facebook Korea Buzz atau saluran Youtube Korea Buzz. Pasti anda tidak kering gusi melihat telatah Soohan.