Setiap kali muncul dengan album baru, perhatian sering diberikan kepada fesyen dan gaya yang ditampilkan bintang Kpop untuk konsep album berkenaan. Malah, tidak dapat dinafikan, banyak konsep yang ditonjolkan sering menjadi ikutan bukan saja peminat malahan beberapa artis dari luar negara.
Jikalau mengikut kebiasaan, ramai peminat mahu memiliki gaya rambut seperti artis Kpop sehingga ada membawa gambar atau menunjukkan gambar artis Korea sebelum rambut dipotong dan didandan.
Menyentuh mengenai rambut bintang KPOP lelaki, penata rias rambut terkenal di Korea iaitu Park Nae Joo telah mendedahkan bintang Korea yang paling cerewet tentang gaya rambut. Mengikut rekod, Nae Joo pernah menggayakan rambut BTS, EXO, GOT7, Monsta X dan NCT.
Menerusi temubual bersamanya, hair stylist yang telah menganggap bintang Kpop ini seperti adik lelaki sendiri mendedahkan ahli BTS dan EXO yang paling cerewet serta tidak kisah dalam bab rambut. Dalam erti kata lain, siapa yang pandai jaga rambut dan siapa yang tidak.
Antara semua bintang KPOP yang pernah bekerja dengannya, EXO merupakan kumpulan yang pertama rambutnya disentuh. Malah, Nae Joo bersama dengan mereka semasa mereka masih lagi pelatih KPOP.
Menurut Nae Joo, V atau Tae Hyung merupakan ahli BTS yang paling cerewet dan mengambil berat tentang gaya rambut. Manakala dalam EXO pula, perangai sama seperti V adalah Kai dan Baekhyun.
Nae Joo turut mengakui, jika tiba giliran ketiga-tiga figura ini, dia akan meletakkan banyak idea dan gaya untuk mereka nampak kacak dan lain dari lain. Pun begitu, ahli EXO yang dikenali kerana ketampanan iaitu Sehun adalah ahli EXO yang paling tidak kisah dan tidak berapa nak ambil tahu tentang gaya rambut. Malah, dia hanya terima apa saja gaya yang dikenakan untuknya setiap kali persembahan mahu pun konsep album baru.
Sementara itu, Nae Joo turut berkongsi, 2020 bakal menyaksikan banyak warna rambut Biru Klasik kerana dianggap warna paling trendy untuk 2020. Malah, potongan rambut panjang, multi layer dan shaggy akan menjadi pilihan ramai bintang KPOP untuk penampilan mereka.