Gila Seks? Soo Dedah perangai sebenar lelaki Korea bergelar Oppa tu!

Tidak dapat dinafikan, virus KPOP dan drama Korea telah melonjakkan saham jejaka asal Korea yang disapa Oppa semakin tinggi dan mendapat perhatian dari wanita seluruh dunia terutama sekali Asia. Bahkan, wanita barat kini sedang kemaruk dengan lelaki Korea hasil dari penangan kumpulan KPOP, BTS yang sedang berada di takhta tertinggi muzik dunia.

Menyedari hakikat ini, wanita Korea yang tular kerana mahu menjadikan lelaki Malaysia atau Melayu sebagai pasangan hidup langsung tidak terkejut apabila ramai kawan lelakinya sering saja mendapat perhatian pengikutnya apabila dia berkongsi foto bersama dilaman instagram, tiktok dan facebook.

Oleh kerana itu, Soo atau Kim Su Hyun dengan beraninya telah mendedahkan perangai sebenar kebanyakan lelaki Korea yang dekat dengannya. Namun, Soo terlebih dahulu memberitahu apa yang diperkatakannya ini adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya. Jadi, tidak semua lelaki Korea mempunyai ciri buruk yang diceritakan Soo yang gembira buku panduan belajar Bahasa Korea hasil titik peluhnya mendapat perhatian pembaca antarabangsa.

“Saya tahu ramai wanita Asia sekarang ini tergila-gilakan lelaki dari Korea. Kalau mereka berjumpa dengan Oppa yang betul, tidak salah mereka mahu mempersuamikan lelaki asal Korea. Bagus sangat. Saya pun tidak dapat nafikan, sekarang ini banyak lelaki Korea yang baik dan mengambil perhatian terhadap wanita yang disayangi mereka.

“Cuma mereka perlu berhati-hati dengan sikap dan tindak tanduk sebenar lelaki Korea. Ada lelaki Korea yang hanya mendekati wanita antarabangsa kerana mereka mahu tahu atau sangsi terhadap seksualiti wanita bangsa asing. Ada yang mahukan seks saja. Ada juga lelaki Korea yang menipu dan berpura-pura suka kerana wang, visa dan sebagainya. Jadi anda semua wanita di luar sana, perlu lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya,” katanya dengan tegas.  



Lebih berterus terang tentang lelaki Korea, Soo bukannya mahu memburukan kaum adam dari Korea. Sebaliknya, dia mahu wanita di luar sana tahu hakikat sebenar mereka yang bergelar Oppa.


“Disebabkan KPOP dan HALLYU, ada lelaki Korea merasakan mereka mudah untuk berasmara atau menjalinkan hubungan dengan wanita bangsa asing hanya sebab mereka lelaki asli dari Korea. Jadi, saya hanya mahu tegaskan sekali lagi, berhati-hati ya.


“Saya tidak mahu kisah memalukan berulang lagi melibatkan gadis dari Filipina dan Vietnam. Ada lelaki Korea yang sanggup datang ke Asia tenggara untuk berfoya dan telah membuatkan wanita dari negara tersebut mengandungkan anak luar nikah. Apabila dah mengandung, lelaki Korea itu telah terus lari pulang ke Korea.

“Setelah pulang ke Korea, dia kahwin dengan wanita Korea dan menjalani kehidupan biasa tanpa pedulikan wanita yang telah mengandungkan anaknya itu. Dia buat tak tahu saja dan sewenangnya melupakan apa yang telah dibuatnya. Lelaki itu terus lupa tentang wanita dan anaknya itu.

“Sesungguhnya, tidak semua lelaki Korea romantik macam dalam drama Korea. Ada yang perangai macam syaitan walaupun muka memang kacak. Ada yang akan mempergunakan anda demi kepentingan sendiri dan sanggup membuatkan diri anda menderita seumur hidup,” jelas Soo.

Walaupun penjelasan Soo tentang lelaki Korea agak beremosi, Soo menafikan sekali lagi dia memilih lelaki Malaysia sebagai teman hidup kerana kecewa dengan lelaki Korea. Sebaliknya, dia sebenarnya sangat selesa berkawan dengan lelaki Malaysia yang dianggap ambil berat dan bertanggungjawab.

Kongsikan artikel ini