Momentum peserta Big Stage musim ke-3 seakan lambat menyengat apabila setiap minggu kritikan dari juri profesional lebih menarik perhatian berbanding persembahan peserta. Namun, tidak dapat dinafikan, walaupun setiap peserta mempunyai keunikan sendiri, hanya Azam dan Usop saja menyerlah setiap minggu sampailah ke minggu keempat.
Pun begitu, apabila lagu tugasan minggu ke 5 Big Stage diumumkan, netizen atau peminat KPOP mula memberi perhatian kepada lagu yang dipilih Farisha Iris. Sungguhpun juri tetap Ajai menyukai suara Farisha, gadis kecil molek ini masih menerima kritikan pedas dan markah terendah dari Ajai yang pernah dikategorikan kejam oleh netizen apabila memberikan dua markah kepada peserta yang bergelar doktor gigi dan oppa celup iaitu Hafiz Zainal.
Untuk minggu ke-5, Farisha dengan beraninya telah memilih lagu How You Like That? dari BLACKPINK untuk dipersembahkan pada minggu terbaru. Pemilihan lagu tersebut menyentak fikiran netizen dengan bertanya adakah Farisha kini menggunakan strategi juara Big Stage musim pertama iaitu Sarah Suhairi.
Mengimbas perjuangan Sarah Suhairi, penyanyi ini pada mulanya dikategorikan biasa-biasa saja tetapi menerima banyak pujian dari Faizal Tahir selaku juri tetap. Namun, selepas menyanyikan lagu Ddu Ddu Ddu Ddu dari BLACKPINK, taring penyanyi ini semakin menyerlah sehingga bergelar juara. Malah, Sarah Suhairi viral dan mendapat perhatian netizen Korea.
Adakah impak yang diterima Sarah Suhairi bakal berlaku kepada Farisha? Apa sekalipun, kejayaan Sarah menyanyikan lagu tersebut apabila penyanyi kecil ini mencari inisiatif sendiri dengan berguru dengan orang yang pakar dalam bahasa Korea dan mempunyai pengalaman sebagai penyanyi KPOP di Korea. Jadi, mungkin Farisha boleh menjadi seperti Sarah kalau kena dan pilih jalan yang betul. Jangan berguru dengan orang yang salah.
Dalam pada itu, formula yang digunakan Hanbyul untuk berduet dengan Sarah Suhairi sebagai tanda untuk bergelar juara musim kedua tidak berhasil buat peserta Amir Hassan. Pemilihan berduet dengan Sarah Suhairi membuatkan dirinya kecundang dan gugur pada minggu kedua Big Stage 3.
Oleh itu, Farisha kena berhati-hati takut ia akan memberi kesan negatif seperti yang diterima Amir Hassan. Lebih penting, memandangkan minggu ini ada lagu berlainan bahasa, apa salahnya pihak produksi menjemput orang yang benar-benar sesuai untuk mengkritik. Janganlah menjemput orang yang tak neutral yang mana benci KPOP dan terus melabelkan tidak bagus walhal penyanyi tersebut nyanyi dengan bagus. Yang penting, ramai puji sikap Elly Mazlein yang menjadi presiden netizen. Sangat menghiburkan!