Dakwaan Guna Masjid & Kaabah, Lagi Isu Mainkan Islam Bangkit Berkait NCT

Agensi hiburan terbesar di Korea, SM Entertainment menerima kecaman dunia terutama sekali peminat KPOP beragama Islam apabila mereka didakwa tidak hormat dan mempermainkan Islam menerusi artis baru mereka yang sedang menakluk dunia iaitu NCT.

Berikutan isu ini, hati ramai peminat kecewa dan terbakar serta mahu SM Entertainment melaksanakan permohonan maaf secara terbuka dengan kadar segera. Difahamkan, kemarahan ini berbangkit apabila SM melancarkan barangan NCT U yang didakwa menggunakan budaya Islam ke arah negatif.


Perang maaf ini dilancarkan dengan menggunakan aplikasi twitter yang mana peminat yang berang menggunakan tanda palang #SMStopDisrespectingIslam di setiap entri melibatkan isu ini. Isu panas tersebut amat mengecewakan peminat kerana terdapat kubah masjid dan kotak yang menyerupai Kaabah pada barangan NCT U yang dijual dan dilancarkan.

Malah, ada juga netizen bersuara agar perbuatan menghina dan menggunakan Islam ini sepatutnya tidak berlaku lagi dan Islam bukannya barangan estetik. Malah, janganlah menggunakan alasan konsep Aladdin kerana netizen bukannya bodoh. Janganlah sesekali mempermainkan netizen Islam yang sememangnya lebih arif tentang agama mereka daripada anda yang cetek dan hanya mempunyai ramai peminat muslim.

Lebih mengecewakan peminat, ia bukannya pertama kali NCT U melakukan kesilapan. Sebelum ini, muzik video debut NCT turut sama menerima kecaman kerana menampilkan rekaan seperti masjid. Malah, ketika persembahan di pentas secara langsung, NCT juga telah menampilkan paparan skrin yang tulisannya daripada ayat suci Islam.

Semoga pihak terlibat dapat memberi kenyataan serta tidak melakukan kesilapan berulang kali. Ayuh bangkit bersatu semoga perkara yang terjadi memberikan pengajaran. Diharap ia bukanlah strategi pemasaran untuk popular yang sejujurnya banyak kali dipergunakan golongan yang tidak bertanggungjawab.

Kongsikan artikel ini