Tidak dapat dinafikan, setiap tahun ada saja kontroversi tercetus melibatkan artis KPOP mengenai isu berkait rapat dengan Islam. Walaupun ada individu Islam dalam industri muzik KPOP yang disukai dunia, namun keberadaan mereka sering disalah tafsir. Lebih teruk lagi, mereka juga sering dicemuh oleh golongan Muslim sendiri walhal mereka ini sebenarnya bekerja keras dalam berkongsi pengetahuan tentang Islam.
Dek kerana itu juga, mereka tidak mampu untuk membendung masalah kekeliruan yang sering timbul dalam industri KPOP. Selain itu, komuniti Islam di Korea terlalu kecil dan mereka hanya mampu mengatasi masalah tersebut dengan bantuan masyarakat Islam dunia. Namun, apakan daya masing-masing ada jalan sendiri.
Dalam pada itu, ada juga dakwaan mengatakan konsep berkaitan Islam ini sengaja digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menarik perhatian dunia. Salah satu sebabnya, peminat KPOP beragama Islam semakin meningkat dan obsesi mereka di luar jangkaan pengkarya seni muzik KPOP. Masakan pokok bergoyang kalau angin tidak bertiup.
Jadi, siapa yang perlu disalahkan dalam hal ini? Adakah tahap kesedaran golongan sebegini semakin cetek? Hakikatnya, kes sebegini boleh ubah seandainya banyak pihak bekerjasama. Apa sekalipun, bagi mengelak peristiwa sebegini berulang lagi, KOREA BUZZ kongsikan senarai artis KPOP yang pernah popular kerana kontroversi Islam. Mungkin perkongsian ini mampu memulihkan keadaan.