Face Of Anas Abdullah Tawar Kontrak Bernilai RM200K Buat Finalis AWS Korea!

Selain merebut gelaran Super Altitude World Supermodel Korea 2021 (AWS), finalis AWS yang terdiri daripada Kwon Hee, Misha, Paul An dan Young Su juga bakal menerima beberapa gelaran yang dipertandingkan.

Antara gelaran yang mendapat perhatian adalah Face Of Anas Abdullah. Tidak sama seperti penganjuran AWS di negara lain, gelaran ini sememangnya melibatkan juri AWS iaitu Dato’ Sri Anas Abdullah yang sebelum ini banyak mencipta pakaian selebriti tersohor Malaysia termasuklah pakaian Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin.

Pertama kali menjadi juri untuk pertandingan model peringkat antarabangsa, Anas yang juga bakal mengeluarkan jenama pakaian lelaki iaitu Namcin (Singkatan teman lelaki dari perkataan Korea) ternyata sangat komited dengan pemilihan juara AWS Korea 2021.

Atas dasar itu, beliau dengan bangganya memperkenalkan Face Of Anas Abdullah. Penerima gelaran ini bukan saja menjadi duta pakaian Anas tetapi dia juga ditawarkan kontrak bernilai RM200k selama setahun.

Jenama Malaysia Ke Peringkat Global


Menerusi kontrak ini, pemegang gelaran tersebut akan menerima pakaian jenama darinya serta mendapat pelbagai intensif yang lain. Difahamkan Face Of Anas ini dimulai dengan Korea dan mungkin ia bakal menyusul untuk AWS Malaysia. Segalanya juga tertakluk kepada peserta AWS Malaysia yang bakal terpilih nanti.

Menyentuh mengenai cara pemilihan, Anas menegaskan bahawa faktor penerima gelaran ini bukan saja dari segi paras rupa tetapi disiplin diri dan komunikasi menjadi faktor utama penerima gelaran yang julung kalinya diberikan.

Jadi, setiap komitmen yang diberikan finalis setiap minggu akan diambil kira. Jika finalis tidak menghantar mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan, markah akan ditolak dan tindakan disiplin akan dilaksanakan. Walaupun peserta itu berjaya memenangi cabaran yang diberikan, ia bukan bermakna ia menjadi jalan mudah bagi finalis itu untuk dinobatkan gelaran ini.

Oleh itu, Anas menasihatkan agar setiap finalis berikan komitmen yang luar biasa dan tidak menggunakan alasan sibuk dan ada jadual lain apabila tugasan diberikan kepada mereka.

Sementara itu, peratus undian secara online juga menjadi penentu untuk gelaran ini. Dari segi keputusan undian, ia mencerminkan komited peserta dalam pertandingan dan juga projek mendatang melibatkan jenama Anas Abdullah. Antara Kwon Hee, Misha, Paul An dan Young Su, siapakah pilihan anda?

Kongsikan artikel ini