Edisi Cetak Diperkenalkan, Majalah Korea Buzz Bakal Menembusi Pasaran Korea, Vietnam, Thailand dan Lain-lain

Selepas mendapat perhatian dan permintaan yang tinggi daripada pembaca setia, majalah Korea Buzz kini bersedia melancarkan edisi cetakannya. Basic Meta Sdn Bhd, syarikat di belakang Korea Buzz, mengumumkan bahawa majalah ini akan dikeluarkan dalam format fizikal setelah dua tahun kejayaannya di platform digital. Edisi cetak ini sepatutnya dilancarkan pada 2022 tetapi terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengasas dan Chief Creative Officer Korea Buzz, Hyunmin-A, menyatakan bahawa perancangan untuk edisi cetak ini dijangka terlaksana menjelang penghujung tahun 2024.

“Mengikut perancangan, Korea Buzz edisi cetak akan berada di pasaran pada September atau Oktober ini. Bagaimanapun, pelaksanaannya bergantung kepada kerjasama dari pihak tertentu. Besar kemungkinan, edisi ini akan bekerjasama dengan majalah fesyen tempatan,” ujar Hyunmin-A.

Beliau juga menambah, “Segalanya masih dalam perancangan, namun pihak kami telah bersepakat untuk merealisasikan permintaan pembaca dalam tahun ini juga. Edisi istimewa ini akan menampilkan 50 hingga 100 muka surat dengan beberapa kolum istimewa.”

Korea Buzz edisi cetak ini juga akan menampilkan 10 penghias kulit terbaik dalam edisi istimewa ini. “Kami sedang memilih 10 atau 12 selebriti dan figura terbaik yang telah menjadi penghias muka depan Korea Buzz edisi digital. Namun, akan ada penghias muka depan istimewa untuk edisi cetak ini. Pembaca yang ingin memberi cadangan boleh mengirimkan email kepada kami di info@thekoreabuzz.com,” jelasnya lagi.

Harga majalah ini masih dalam perbincangan, namun dianggarkan sekitar RM15 hingga RM20 senaskah. Menariknya, edisi cetak ini bukan sahaja akan dipasarkan di Malaysia, tetapi juga di Korea Selatan, Vietnam, Thailand, Indonesia dan beberapa negara lain.

Selain itu, Korea Buzz akan menampilkan segmen khas untuk bakat atau model yang ingin muncul dalam majalah ini. Tawaran juga terbuka kepada usahawan yang berminat untuk tampil dalam edisi istimewa ini.

Maklumat terperinci mengenai Korea Buzz edisi cetak akan dikongsi dari semasa ke semasa. Pihak Korea Buzz mengharapkan sokongan berterusan daripada pembaca untuk menjadikan edisi ini istimewa. Nantikan pengumuman lanjut mengenai edisi ini.

 

Kongsikan artikel ini