Bukan Amalan Kuno Tapi Cara Adab Makan Orang Korea Yang Patut Diikuti!

Tidak sama seperti di Malaysia, masyarakat di Korea agak jarang sekali mahu menjemput orang datang ke rumah. Bukan mereka sombong, sebaliknya hanya yang benar-benar rapat dan dianggap seperti keluarga akan menerima undangan tersebut.

Seandainya anda menerima jemputan makan di rumah orang Korea, jangan sesekali anda duduk selagi belum dijemput atau diberi tunjuk kerusi mana yang sepatutnya anda duduk oleh tuan rumah. Malah, adab duduk ini turut dipraktikkan oleh orang Korea untuk mesyuarat perniagaan.

Malah, jangan sesekali tuang minuman anda sendiri. Anda perlu tunggu sehingga tuan rumah tuang dan hidangkan untuk anda. Ini adalah adab tipikal tuan rumah Korea. Lebih sopan, anda tolong tuangkan minuman untuk orang lain. Adab ini ibarat anda membalas semula jemputan.

Jika anda menerima sesuatu dari mereka terutama sekali makanan, sambutlah dengan kedua-dua belah tangan sebagai tanda hormat. Jika anda menerimanya dengan sebelah tangan saja, anda perlu menggunakan tangan kanan dan tangan kiri sebagai sokongan saja.

Memandangkan orang Korea makan menggunakan Chopstik, anda perlulah tahu sedikit cara menggunakannya. Jangan sesekali memegang Chopstik dengan menundingnya ke arah orang lain. Anda juga tidak boleh meninggalkan makanan melekat pada chopstik apabila anda tidak digunakannya lagi. Ini kerana ia adalah amalan yang dikhaskan untuk menghormati orang yang mati.

Cara bertutur dan berkomunikasi orang Korea pula adalah budaya yang terpelihara. Orang Korea lebih banyak mendiamkan diri berbanding berceloteh di meja makan. Sebagai contoh, semasa makan di majlis makan malam, jangan terkejut jika tiada siapa yang bercakap semasa waktu makan.

Bagi orang Korea, ia dianggap amalan sopan untuk diam semasa anda dan orang lain makan. Bersosial akan berlaku hanya sebelum atau selepas makan saja.

Begitu juga, jika anda berada di bas atau kereta api awam, cuba menahan diri daripada bercakap terlalu kuat dengan rakan atau daripada bercakap di telefon. Cuba untuk mengekalkan postur tubuh yang baik kerana bercakap kuat dianggap kasar.

Semoga perkongsian ini mengakrabkan lagi silaturahim antara anda dan keluarga Korea yang anda kenali. Sungguhpun masyarakat Korea kini dikenali dengan kehidupan moden, adab tradisi masih lagi diamalkan dan tidak pernah dilupakan.

Kongsikan artikel ini