Disebabkan masalah sakit belakang yang kerap dialami oleh mereka yang bekerja seharian di hadapan komputer, meja berdiri atau ‘standing desk’ kini semakin popular sebagai penyelesaian untuk memperbaiki kesihatan tulang belakang. Namun, satu kajian mendapati bahawa penggunaan meja berdiri ini mungkin meningkatkan risiko masalah kesihatan lain, termasuk pembengkakan vena pada kaki dan penyakit pembekuan darah.
Menurut kajian dari pasukan Dr. Matthew Ahmadi di Universiti Sydney, berdiri lebih dari dua jam sehari boleh meningkatkan risiko penyakit sistem peredaran darah. Data yang dikumpulkan dari 83,013 orang dewasa di UK menunjukkan bahawa bagi setiap tambahan 30 minit berdiri, risiko penyakit peredaran darah meningkat sebanyak 11%. Kajian ini turut menunjukkan bahawa mereka yang duduk antara enam hingga sepuluh jam sehari mungkin mengalami sedikit penurunan risiko masalah peredaran darah, walaupun duduk terlalu lama, iaitu lebih dari 10 jam, akan kembali meningkatkan risiko tersebut sebanyak 26% bagi setiap jam tambahan. Sebelum ini, pendapat umum mengatakan bahawa berdiri dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti strok dan kegagalan jantung, tetapi kajian ini menunjukkan bahawa berdiri lama tidak semestinya membantu mengurangkan risiko penyakit tersebut. Kajian ini diterbitkan dalam International Journal of Epidemiology.
Namun, hasil kajian ini bukanlah bermakna kita harus kembali duduk sepanjang masa. Dr. Ahmadi menyatakan, “Berdiri dalam jangka masa panjang tidak boleh menghapuskan atau mengurangkan kesan negatif gaya hidup duduk lama. Malah, bagi sesetengah orang, ia boleh menambah risiko penyakit peredaran darah.” Beliau menambah, semakin lama seseorang berdiri, semakin tinggi pula risiko penyakit kardiovaskular dalam jangka masa panjang.
Untuk kajian ini, kumpulan penyelidik memantau pergerakan harian peserta yang tidak mempunyai penyakit jantung, dengan menggunakan alat penjejak pergerakan selama tujuh hingga lapan tahun. Sepanjang tempoh ini, kira-kira 8% peserta mengalami masalah kardiovaskular seperti sakit jantung, strok, atau kegagalan jantung, dan lebih dari 2% mengalami masalah peredaran darah seperti vena varikos atau trombosis vena dalam.
Profesor Emmanuel Stamatakis dari Universiti Sydney menyarankan mereka yang duduk lama supaya kerap bergerak dan melakukan senaman berkala untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
“Mengambil rehat secara berkala, berjalan, menggunakan tangga, dan bangun dari meja untuk menggerakkan tubuh adalah antara langkah yang boleh membantu meningkatkan kesihatan kardiovaskular,” katanya.