X-Files: Wanita Muslimah Malaysia Meraung Seperti Dirogol Dalam Sauna Korea

Aku adalah seorang peminat tegar drama Korea dari Malaysia. Aku sudah berkahwin dan mempunyai anak. Suami aku tahu, bahawa aku ini sangat meminati drama Korea. Malah, aku pasti akan berangkat ke Seoul setiap tahun untuk bercuti. Suamiku tidak pernah menghalang dengan minat aku sebaliknya dia menyokong serta tumpang sebulu.

Pada kebiasaannya, aku pergi ke Korea seorang diri kerana dalam masa yang sama adik aku bertugas sebagai tukang masak di Korea. Jadi, aku melancong sambil melawat adik aku. Melihat personaliti dan imej aku, pasti ramai tidak menyangka aku ini seorang fanatik Korea. Aku begitu teruja apabila bercerita tentang drama Korea. Aku pun sebenarnya pernah alami ketakutan sewaktu isu Islam hangat diperkatakan dunia. Yelah, waktu itu ia terpalit kepada aku sehinggakan aku pernah disoal siat oleh imigresen Korea kerana mereka menyangka aku wanita Arab.

Ya, wajahku seperti orang Arab dan aku bertudung litup. Sudah lama aku menyimpan satu rahsia. Nak kata peristiwa pahit, aku pun tak tahu mengklasifikasikannya. Namun peristiwa ini berlaku sewaktu aku ke Korea kali kedua. Waktu itu, aku bertemu seorang rakyat Malaysia yang kacak seperti orang Korea di tepi jalan pada musim sejuk.  

Dia seorang yang baik hati. Dia menegur aku dan bertanyakan adakah aku berasal dari Malaysia. Sejak perkenalan itu, kami menjadi rapat. Malah, dia juga sewaktu itu masih bergelar pelajar di sebuah pusat pengajian ternama di Korea. Sebenarnya, aku tidak menyangka, aku berjumpa dengan dia di tempat orang kaya. Orang kata, tempat di mana ramai selebriti ternama Korea tinggal. Dia juga menetap di kawasan itu. Kami meluangkan banyak masa bersama. Selepas berkenalan, dia pun bertanya kepada aku, apakah hajat aku yang paling aku ingin buat di Korea?

Selepas berborak, aku beritahu bahawa aku teringin sangat pengalaman berada dalam sauna atau orang Korea panggil jimjilbang. Yelah, aku ni terlalu obses dan mahu rasa seperti mana dalam drama-drama Korea. Sewaktu menyatakan hasrat itu, teman aku ini banyak kali bertanya kepada aku, benarkah aku mahu pergi ke tempat itu? Dia tersenyum lebar dan seolah-olah memberikan amaran kepada aku tetapi aku tidak mengerti.  

Permintaan aku ditunaikan. Kami pergi bersama dengan abang angkat kawan aku ini. Abang angkatnya itu orang Korea. Sekali pandang mereka berdua macam adik beradik,. Aku telah dibawa ke sauna yang paling terbaik di Korea dan terbesar. Namun, apabila aku pergi dengan orang tempatan, harganya jadi sangat murah. Dalam keadaan teruja, aku pun masuk mendaftar.



Kami terpisah sementara kerana sebelum kami berjumpa di ruang utama sauna, kami perlu masuk ke bilik persalinan yang berlainan. Walaupun gembira dan teruja, aku pun menuju ke lokasi pertama. Masuk saja di situ, aku terkejut dan tidak menyangka. Untuk pertama kalinya seumur hidup aku, aku menyaksikan semua wanita Korea di situ dalam keadaan tanpa baju. Aku jadi takut dan hampir menangis. Keadaan aku yang takut itu diperhatikan semua orang kerana aku takut-takut untuk menukar baju sauna di hadapan mereka. Aku pejamkan mata dan terus menukar baju tanpa masuk ke bilik-bilik lain. Di hati aku hanya mahu keluar dari situ saja.

Selepas tiba diruang utama sauna, aku nampak sahabat yang bawa aku ke situ. Aku terus berlari tanpa menghiraukan orang lain. Sambil berlari aku menjerit namanya dan menangis. Aku rasa waktu itu aku rasa seperti mahu dirogol seseorang.

Aku menangis di hadapan sahabat yang aku anggap seperti adik aku. Bercerita kisah yang berlaku itu, dia cuba menenangkan fikiranku. Hari itu jugalah buat pertama kalinya aku berseluar pendek dan tidak bertudung di hadapan bukan muhrim. Aku jadi kekok sebab aku meletak tuala di kepala saja. Aku cuba sedaya upaya untuk menutup aurat. Tuala itu pun diberikan adikku itu.

Aku di nasihat supaya jangan gugup atau takut. Seandainya aku terus begini, orang-orang di situ akan berasa hairan dan mungkin juga aku akan dihalau. Selepas tenang, aku cuba aktiviti dalam sauna seperti dalam drama. Ternyata aku terhibur dan dapatlah berangan sama seperti dalam drama. Apatah lagi, adik angkat aku yang baru ini pun kacak macam pelakon Korea walaupun dia orang Malaysia.

Aku sudah lama simpan rahsia ini. Aku sebenarnya malu tapi dalam masa yang sama belajar satu perkara yang baru. Apa yang berlaku ini semuanya silap aku. Namun, ia kenangan yang paling indah kerana aku bernasib baik masih berjumpa dengan orang Malaysia yang baik dan kacak di Korea. Aku pun berharap satu hari nanti dapat berjumpa dengan dia kembali. Kalau aku ada adik sudah tentu aku jodohkan dia dengan adik aku. Terima kasih adik angkatku kerana kau mengajar aku banyak benda baru di Korea.

Inilah kisah benarku. Kisah ini berlaku sekitar tahun 2012. Semoga perkongsian ini menjadi pengajaran buat sesiapa yang spesies macam aku.

Kongsikan artikel ini