Figura Korea Buzz Ogos 2024, Lee Chan Ju, atau lebih dikenali sebagai CJ, pernah menjadi sasaran kritikan tajam apabila trailer filem Harimau Malaya: The Untold Story mula disiarkan. Ramai yang tidak puas hati dengan lakonannya sebagai jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon, dan tidak segan-silu melabelnya sebagai ‘tidak sesuai’ dan ‘kurang tampan’ .
Apa yang tidak diketahui ramai, CJ sebenarnya perlu berlakon sebagai Kim Pan Gon, yang berusia 55 tahun, sedangkan beliau sendiri baru berusia 33 tahun. Memainkan watak seorang lelaki yang jauh lebih tua bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi dengan tekanan untuk kelihatan dan bertindak meyakinkan dalam setiap babak.
Namun, segalanya berubah apabila filem ini mula ditayangkan di pawagam pada 15 Ogos yang lalu. Penonton yang pada mulanya skeptikal kini berubah pendapat, malah tidak dapat menahan diri daripada memuji ketampanan sebenar CJ. Ramai yang tergamam ketika melihatnya di layar perak, dan yang lebih mengejutkan, penampilannya di luar filem dikatakan jauh lebih menawan dan segar.
CJ kacak berbaju Melayu
Dalam tayangan perdana yang berlangsung baru-baru ini, suasana gamat apabila peminat tidak henti-henti berteriak, mengagumi CJ yang nyata lebih kacak dan muda daripada apa yang digambarkan dalam filem. Kehebatannya membawakan watak Kim Pan Gon, seorang jurulatih yang jauh lebih berusia, menunjukkan bakat CJ yang luar biasa dalam dunia lakonan, walaupun usianya kini mencecah 33 tahun.
Bukan sahaja memukau dengan lakonannya, CJ kini menjadi pujaan ramai wanita di Malaysia. Aktor yang baru sahaja menetap di Kuala Lumpur ini mula mencuri hati peminat dengan pesona dan karismanya. Tidak menghairankan, CJ kini menjadi buruan banyak syarikat produksi yang mahu menggunakannya dalam projek-projek besar akan datang.
Ada juga membandingkan ketampanan CJ dengan seorang lagi pelakon Kacak Harimau Malaya iaitu Meerqeen. Ada juga yang mengusik seorang Oppa Ori dan seorang lagi oppa celup.
Bagi anda yang ingin lebih mengenali CJ dan mengikuti perkembangan terbarunya, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti akaun Instagramnya di sini. Siapakah yang tahu, mungkin CJ akan menjadi pelakon kegemaran Malaysia seterusnya!