Ibu Enggan Bertegur Sejak Peluk Islam, Yong Berubah Jadi Positif & Tenang

Diri berubah menjadi lebih tenang dan sentiasa positif. Itulah luahan rasa lelaki bangsa Korea beragama Islam, Lee Seong Yong atau lebih dikenali dengan nama Yong menerusi saluran youtubenya. Namun, semenjak bergelar mualaf, Yong yang mengetap di Busan memberitahu bahawa ibunya tidak lagi berkelakuan seperti dulu dan mula bersikap dingin dengan dirinya.

“Alhamdulillah, saya sudah menjadi seorang Islam. Setakat ini, saya tidak lagi mempunyai nama Islam. Sejujurnya saya hanyalah seorang Mualaf Korea yang biasa saja dan bekerja sebagai youtuber sepenuh masa.

“Selepas mula aktif dengan saluran Youtube, saya melihat pelbagai jenis manusia. Saya kenal lebih ramai orang Islam. Dari situlah juga bermulanya saya berminat tentang Islam.

“InsyaAllah, saya akan cuba menjadikan diri saya sebagai seorang Islam di Korea yang mempunyai imej yang baik. Saya juga perasan bahawa diri saya sentiasa berfikiran positif sejak menjadi Islam,” katanya.

Bercerita detik permulaan bahawa dia sudah bersedia untuk menganut Islam, Yong memberitahu dirinya tidak lagi melakukan perkara asas yang dilarang Islam.

Seorang yang ceria dan pemalu.


“Saya mula sedar bahawa saya sudah bersedia menganut Islam apabila lebih sebulan saya tidak minum arak dan tidak makan daging khinzir. Waktu itu, saya rasa sangat senang dan tidak menghadapi kesusahan.

“Oleh itu, saya merasakan waktu itu sudah sangat bersedia. Mulanya saya berfikir sangat sukar untuk mengelak dari minum arak dan makan khinzir di Korea, namun hakikatnya segalanya dipermudahkan,” ujarnya
.

Walaupun masih baru dalam Islam, Yong berharap lebih ramai lagi orang Korea memeluk Islam.

Gembira menjalani kehidupan sebagai seorang mualaf di Korea.

“Saya harap, masyarakat Islam di Korea semakin bertambah setiap hari. Saya sebenarnya secara tidak langsung telah menyertai komuniti Islam menerusi laman youtube saya. Ini Kerana saya memang fokus tentang Islam.

“Islam berikan saya ketenangan. Islam itu peace. Sudah tentu perkataan pertama saya belajari dari Islam ialah Peace. Saya rasa itulah perkataan yang paling sesuai dan indah untuk menggambarkan Islam,” tambahnya.

Menjelaskan perubahan yang berlaku terhadap dirinya, Yong dapati dirinya berubah menjadi yang baru.

Yong sewaktu sesi rakaman untuk program TV di Malaysia.

“Saya memang nampak banyak perubahan terhadap diri saya sendiri. Selalunya bila saya dalam keadaan tertekan atau menghadapi masalah, saya cepat emosi. Namun, saya terkejut, perkara tersebut tidak lagi berulang.

“Sejak peluk Islam, saya terima semuanya secara positif. Sebenarnya keluarga saya sangat kuat berpegang pada agama Kristian. Baru-baru ini, saya cuba memberitahu ibu saya tentang saya yang sudah menjadi Islam.

“Sejak dari itulah, ibu saya sering mengelak dan tidak mahu lagi bercakap dengan saya. Kami tidak lagi seperti dulu. Sebagai seorang Islam, cabaran paling teruk untuk saya adalah memberitahu Ibu saya bahawa saya sudah menjadi Islam.

“Bagaimanapun, kepada sesiapa saja yang mahu memeluk Islam, secara jujur saya boleh katakan Islam bukanlah agama yang mudah kerana Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan tulus dan diredhai Allah, “ jelasnya.

Kongsikan artikel ini