In love Dengan Budaya Cincai, Henry Seo Suka Kurma, Durian & Nasi Lemak

Mempunyai perbezaan pendapat dengan Jay Lee, Seo Hun Min atau mahu lebih dikenali dengan nama Henry mula membuat youtube tentang Malaysia kerana kebosanan hidup sebagai bangsa asing di Malaysia. Namun, Henry yang bertugas dalam pemasaran atas talian di syarikat terkemuka di ibu kota mula menetap di Kuala Lumpur sejak 2014.

Pakaian: Anas Abdullah / Solekan: Kahoo

Tertarik dengan sistem Pendidikan Malaysia adalah faktor utama Henry memilih Kuala Lumpur sebagai tempat dia menimba ilmu dan memperkembangkan kerjaya. Malah, Henry tidak dapat menafikan bahawa Malaysia adalah negara yang berkembang cepat dari segi ekonomi dan segala aspek di Asia Tenggara.

“Secara jujur, saya buat video sebab saya bosan. Oleh itu, saya buat keputusan untuk bercerita tentang Malaysia di saluran Youtube saya. Saya juga mahu menggunakan platform ini untuk tambah kenalan bukan saja di Malaysia tetapi kenalan dari serata dunia,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkara yang banyak dipelajari dari orang Malaysia, jejaka tinggi lampai dan pemalu ini tidak mahu berahsia bahawa hantinya sudah ditawan gadis dari Asia Tenggara.

“Banyak perkara yang saya belajar di Malaysia. Pengurusan masa di Malaysia dan Korea amat berbeza. Saya juga tahu, durian sebenarnya sedap. Malah, rakyat Malaysia sangat berfikiran terbuka.

“Kos sara hidup di Malaysia juga sangat tinggi. Paling menarik, budaya cincai Malaysia membuka mata saya,” jelasnya.

Menyentuh mengenai budaya dan makanan yang digemarinya, Henry sering mengatakan dia sangat tertarik dengan budaya cincai.

“Banyak budaya cincai yang saya suka termasuklah makanan Malaysia. Saya suka Durian, Manggis, Mamak, Budaya Yamcha, Nasi Ayam dan Roti Telur Bawang. Paling suka dengan budaya mesra berkawan. Orang Malaysia memang baik semuanya.

“Ketika mula menetap di Malaysia, saya langsung tidak pandai cakap English. Jadi, amat sukar untuk saya menerima budaya Malaysia. Namun, segalanya telah berubah.

“Kalau boleh saya mahu belajar macam mana masa Nasi Lemak. Sebab saya suka makan nasi lemak di gerai Mamak Daru salam,” jelasnya.

Menjelaskan mengenai pengalaman beraya dan berpuasa di Malaysia, Henry ternyata gembira dan teruja dengan sambutan tersebut.

“Saya langsung tidak mempunyai pengalaman sedih atau buruk sewaktu raya dan puasa. Bila musim perayaan, kawan saya sering jemput saya datang ke rumah. Itulah masa paling indah kerana berpeluang tahu lebih tentang budaya Malaysia.

“Bulan puasa saya suka makan kurma. Sedap dan berkhasiat. Memandangkan tahun ini PKP, saya rindukan pengalaman tersebut. Saya juga tidak boleh buat content youtube saya. Bagaimanapun, saya akan tetap memburu makan sedap dan lazat.

“Matlamat saya untuk menjadi influencer dan menggunakan platform ini agar masyarakat antarabangsa menerimanya dengan hati terbuka,”katanya.

Kongsikan artikel ini