Kawal Diri Berpuasa & Pernah Belajar Di Malaysia, Bacaan Fatihah Seong Yong Tular

Ramai tidak menyangka, youtuber Korean Muslim popular, Lee Seong Yong sebenarnya pernah tinggal di Malaysia seketika sebagai seorang pelajar.

“Saya belajar di Malaysia selama dua bulan saja. Sepanjang masa belajar itu, saya hanya dapat bergaul dengan rakan-rakan dari antarabangsa. Saya juga hanya ada seorang saja rakan wanita dari Malaysia.

“Sejujurnya, dia suka dan berminat dengan saya. Waktu itu, saya masih belum beragama Islam lagi. Saya masih ingat lagi perbualan saya dengan dia. Itu adalah kali pertama saya bercakap dengan wanita berhijab,” kata Yong.


Menjelaskan Islam membawa dirinya ke arah ketenangan, Yong kongsikan pengalaman pertama menjalankan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan.

“Ini adalah Ramadhan pertama buat saya. Terus-terang, pada mulanya saya ingatkan puasa ini susah. Namun, Alhamdulillah, rupa-rupanya puasa ini sangat mudah.

“Ramadhan banyak mengajar saya kebaikan. Saya juga dapat merubah diri saya kepada seorang yang boleh mengawal perasaan, emosi, mental dan kelakuan. Perkara buruk pada saya di bulan Ramadhan pula ialah…saya sangat haus,” jelasnya.

Dalam pada itu, Yong memberitahu bahawa Surah pertama yang dihafalnya adalah surah Alfatihah. Malah, atas permintaan Korea Buzz, Yong telah berkongsi video bacaan Al-fatihah sehingga menjadi tular.

“Sudah tentu, surah pertama yang saya baca dan hafaz ialah Al-Fatihah. InsyaAllah, saya akan rakam bacaan saya dan kongsikannya di saluran youtube milik saya,” ujarnya.

Bacaan Fatihah Oleh Yong.