Selain bertugas sebagai pakar pemasaran Korea, Jay Lee yang berasal dari Korea juga merupakan seorang pengacara TV dan penyampai radio EBS. Malah, walaupun sudah menetap di Malaysia, Jay masih lagi bertugas sebagai penyampai radio dengan mempromosikan Malaysia kepada Korea. Program radio itu telah pun mula disiarkan bermula Jun 2019 sehingga Februari 2020. Kini, penulis dan produser saluran TV Korea dan entiti kerajaan Korea sedang menanti rancangan terbaru yang bakal mula disiarkan pada Mei 2020.
Menceritakan sebab memilih untuk menetap di Malaysia, Jay pada asalnya datang ke Malaysia pada sekitar 2016 dan bertugas sebagai Pengarah Urusan sebuah syarikat gabungan Malaysia dan Korea. Atas sebab tugasan dan tanggungjawab, dari sinilah bermula detik Jay mahu terus tinggal di Kuala Lumpur.
Walaupun sibuk dengan tugasan yang digalasnya, Jay juga adalah seorang Youtuber Korea yang banyak bercerita tentang Malaysia. Jejaka yang masih belum berpunya ini merasakan Malaysia adalah cita rasa sebenar Asia. Dengan kepelbagaian yang dimiliki Malaysia seperti budaya, bangsa, agama, makanan dan alam semula jadi membuatkan dia tertarik untuk mewujudkan program online khusus untuk menghebahkan Malaysia kepada orang Korea.
“Terus-terang, semakin hari semakin ramai orang Korea yang mahu menetap di Malaysia. Bukan saja datang melancong, ramai juga anak muda yang mengintai peluang untuk bekerja dan tinggal di Malaysia. Bagaimanapun, masih lagi ramai orang Korea tidak mengetahui keunikan tentang Malaysia secara mendalam.
“Kebanyakan orang Korea salah faham dan memandang serong tentang Malaysia. Oleh sebab itulah, saya dengan inisiatif sendiri menterjemahkan segalanya tentang Malaysia dalam bahasa dan panduan yang senang difahami oleh bangsa Korea. Saya hanya mahu orang Korea tahu betapa indah dan baiknya orang Malaysia,” ujarnya.
Bercakap tentang makanan dan budaya yang digemarinya, Jay telah berkongsi lebih 45 menu Malaysia menerusi platform penulisannya dan ianya telah pun dikongsi serta diketahui orang Korea.
“Jangan terkejut, saya dah banyak kongsi tentang makanan Malaysia. Kalau tidak silap, saya dah tulis lebih dari 45 makanan Malaysia yang digemari dan dikongsikan kepada orang Korea. Walaupun saya bukan orang Malaysia, saya amat suka semua jenis hidangan Malaysia tidak kiralah makanan Melayu, Cina dan India.
“Tentang budaya pula, Malaysia sangat pelbagai. Orang Malaysia saling menghormati dan tidak pernah memandang status untuk berbuat baik. Itulah budaya yang paling saya gemar tentang Malaysia.
“Sejujurnya saya memang gemar makan sos. Sebab itulah, saya suka makan sambal tumis. Kalau boleh saya nak belajar macam mana nak buat sambal paling sedap di dunia. Dengan sambal, saya boleh makan apa saja dengannya. Sangat sedap!.” Katanya.
Memandangkan sudah menetap di Malaysia, Jay terlalu suka apabila kedatangan Ramadan dan Raya walaupun dia buka beragama Islam.
“Bagi saya, Ramadan dan Raya mempunyai makna yang sangat suci dan murni. Saya sangat menghormati dengan sambutan perayaan tersebut. Dalam bulan mulia ini, saya dapat melihat lebih tentang erti kehidupan dan kemanusiaan. Rasa penghargaan hidup sebagai manusia.
“Sejujurnya, saya hanya mempunyai kenangan indah mengunjungi rumah terbuka. Saya telah dijemput oleh rakan Malaysia saya. Ia adalah kenangan yang indah dan memori yang menyenangkan,” jelasnya.
Walaupun kini berada di Korea dan tidak sabar untuk kembali ke Malaysia selepas tamat PKP nanti, Jay sudah merancang sesuatu untuk membuatkan lebih ramai orang Korea jatuh cinta dengan Malaysia.
“Saya begitu sibuk dengan rancangan radio dan penggambaran program TV saya. Sebenarnya, saya masih belum fokus sepenuhnya telah program Online Malaysia. Saya akan cuba membuat sarikata yang boleh difahami semua orang.
“Oleh kerana saya telah memberi tumpuan untuk memperkenalkan Malaysia kepada penonton Korea, jadi mungkin ini adalah masa yang tepat saya harus berusaha lebih dan berhati-hati, memperkenalkan Korea juga kepada penonton Malaysia. Saya berfikir untuk membuka saluran mengenai makanan Korea dan resepinya Halal dengan kerjasama selebriti Korea dan Malaysia,” ujarnya.