Menanti dan terus menanti, penyampai radio EBS di Korea, Jay Lee masih menyimpan hasrat untuk kembali ke Kuala Lumpur yang menjadi rumah keduanya. Malah, Jay yang berkawan dengan beberapa selebriti Malaysia seperti Azza Elite masih berharap pihak kerajaan Malaysia dan Korea bersepakat untuk membanteras COVID-19 sekaligus memulihkan ekonomi negara. Ini kerana kerjasama ini bakal memberikan berita gembira untuk warga Malaysia dan Korea. Berkemungkinan besar impiannya untuk kemballi ke Malaysia dapat disegerakan.
Menjelaskan mengenai hubungan dengan beberapa Selebriti Malaysia, Jay yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Pemasaran untuk beberapa produk dari Korea mengenali ramai selebriti tempatan menerusi kerjasama dengan rancangan jual beli di saluran TV. Dari situlah, dia berjumpa dengan selebriti Malaysia yang bertugas sebagai pengacara, model dan sebagainya.
Bercerita mengenai dirinya yang sudah hampir lima tahun tinggal di Malaysia, Jay amat merindui kemesraan orang Malaysia sepanjang berada di Korea. Malah, Jay tidak menolak seandainya jodohnya bersama wanita Melayu.
“Orang Malaysia sangat mesra dan baik hati. Saya tidak pernah mengalami sebarang masalah atau berjumpa dengan orang Malaysia yang baran dan hati busuk. Saya selalu dilayan baik dan dihargai. Kedatangan saya sering dialu-alukan masyarakat Malaysia.
“Saya rasa bertuah dan dihormati mempunyai ramai kawan Malaysia. Lebih bertuah, ada juga selebriti Malaysia yang sudi berkawan dengan saya. Terus-terang, saya ini bukanlah Oppa yang seperti yang disangka atau sama seperti dalam drama Korea.
“Bagaimanapun, dengan cara orang Malaysia layan saya, saya berasa diri saya sama seperti Oppa dalam drama Korea. Sebab itu, kalau ada yang panggil saya oppa, saya sudi jadi Oppa awa,” jelasnya.
Walaupun dirinya sudah berusia 40 tahun, Jay menolak dakwaan dia menutup hatinya buat wanita dan lebih terbuka buat lelaki. Pun begitu, Jay sudah lali dengan tuduhan kerana hampir kesemua lelaki Korea dituduh tidak bernafsu dengan wanita kerana wajah jambu dan lebih suka hidup sebatang kara.
“Saya sudah lama tidak menjalinkan hubungan cinta. Secara jujur, saya tidak tahu sama ada ada perasaan atau menaruh perasaan dengan wanita Melayu atau Malaysia. Tapi saya percaya, dalam kehidupan, banyak perkara yang tidak dirancang terjadi dan boleh membahagiakan seseorang.
“Manusia hanya mampu merancang tetapi tuhan menentukan segalanya. Sebab itulah dalam bab kahwin dan jodoh ini, saya hanya boleh merancang dan impikan saja. Tapi kalau benar jodoh saya dengan wanita Melayu, saya tidak menolak. Tapi adakah wanita Melayu sudi menjadi suri hati sayaa,” katanya.
Sebelum ini, Jay pernah mendedahkan budaya Malaysia yang mungkin kurang selesa buat orang Korea. Namun, penghias muka depan isu Julai 2020 memberitahu, jika orang Malaysia mahu berjaya seperti Orang Korea, mereka perlulah bekerja mengikut dateline dan tepati masa. Ini kerana, orang Korea sangat komited dengan masa.