Doktor Gigi Bayangan Hanbyul, Usop Persis Santesh Manakala Azzam & Hanie Soraya Dibayangi Azdrin & Neeta Manis

Desas-desus yang mengatakan ketiadaan peserta dari luar negara atau lebih tepat lagi peserta dari Korea Selatan untuk program Big Stage musim ketiga tepat sekali  setelah 12 peserta baru telah diumumkan semalam dalam sidang media di ibu kota, Kuala Lumpur. Perkhabaran yang menyatakan Big Stage 3 dimonopoli peserta lelaki juga terkena sasaran kerana dari 12 peserta, 8 daripadanya adalah penyanyi lelaki BBNU (Budak Baru Nak Up).

Malah, penyertaan Oppa Celup dalam Big Stage 3 turut sah apabila figura yang dimaksudkan adalah doktor gigi atau penyanyi yang digilap bakatnya menerusi program bintang RTM iaitu Hafiz Zainal. Difahamkan, peminat yang dahulunya menyokong Hanbyul kini sedang berbincang dan bersatu untuk menyokong Hafiz Zainal yang wajahnya ada iras lelaki Korea. Malah, Hafiz yang pernah tular bersama doktor gigi yang lain semasa tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) juga dibayangi Hanbyul kerana personaliti, susuk tubuh yang tinggi serta suara yang dikhabarkan padu dan mantap.

Selain Hafiz, peserta lain yang turut mendapat perhatian adalah naib juara Mentor Millenia 2017 iaitu Usop. Banyak pihak terkejut dengan penyertaan Usop kerana pada Big Stage musim kedua, dia pernah beraksi di pentas Big Stage bersama top 5 Big Stage 3 iaitu Irfan Harris. Namun, penyertaann Usop dikatakan seperti Santesh kerana impak dan personaliti Usop yang kurang lebih seperti penyanyi Amalina.

Jika juara Big Stage 2, Hanbyul mempunyai bayangan di musim terbaru ini, naib johan dan tempat ketiga musim lepas iaitu Neeta Manis dan Adzrin turut mempunyai bayangan yang sama. Hanie Soraya yang sudah lama menyepikan diri dari persada seni kerana melanjutkan pelajaran dikatakan mirip Neeta. Bukan wajah yang dimaksudkan tetapi vokal dan perjalanan kariernya sebagai penyanyi di Malaysia mempunyai persamaan dengan Neeta. Manakala bayangan Adzrin adalah Azzam Sham yang pernah menjadi peserta Idola Kecil. Wajah Azzam masih lagi sama sewaktu menyertai program tersebut cuma dulu dia comel tetapi sekarang tampan dan bergaya. Apatahlah lagi dia juga bergelar pelakon.

Azzam bukan saja dibayangi Adzrin, tetapi dia juga dibayangi peserta Big Stage musim pertama iaitu Afieq Shazwan yang turut sama pernah menjadi peserta Idola Kecil. Seorang lagi peserta bayangan peserta musim lalu ialah Amir Hassan. Penyanyi wajah kacak ini dilihat berkemungkinan besar menerima impak yang sama seperti Kucairmars. Berkemungkinan, kedua-dua mereka datang dari pengurusan yang sama.

Apa sekalipun, seorang lagi peserta yang lahir dari program Mentor iaitu Qody jangan diperkotak-katikkan. Walaupun jumlah pengikutnya di laman instagramnya paling kurang dari kesemua peserta, tetapi vokal Qody dan lagu single nyanyian antara yang paling popular. Malah, pihak yang menguruskan Qody di khabar sedang memasang formula yang pernah digunakan juara -juara sebelum ini.

Turut mendapat perhatian, anak kepada Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah iaitu Yamani Abdillah. Walaupun penglibatan Yamani sebagai penyanyi masih lagi baru dan tidak sehebat bapanya, namun Yamani dikatakan mempunyai vokal semantap bapanya. Paling istimewa, tulang belakang Yamani juga antara orang belakang tabir industri yang banyak menaikkan nama-nama besar Malaysia termasuk bapanya. Tidak lupa, Fadh Majid dikatakan mempunyai keistimewaan berbeza kerana dia adalah adik kepada bintang Akademi Fantasia 9 yang kini turut bergelar penyampai radio dan suami kepada penyanyi popular iaitu Raqib Majid.


Peserta lain yang jangan dipandang sepi ialah Dinie Rashid, Farisha Iris, Sandra Dianne dan Nana Sheme. Mungkin ramai tidak tahu, Nana Sheme pernah dijemput pihak Korea Selatan untuk mengadakan persembahan di sana serta memberi motivasi.
 
Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000. Big Stage 2020 akan memulakan konsert pertamanya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).