Cakap Melayu Dengan Baik, Misha & Paul Dilamar Berlakon Filem Drama Malaysia!

Cabaran lakonan yang dijalankan di Clubhouse Dramanovela dengan melibatkan dua finalis ALTITUDE WORLD SUPERMODEL KOREA 2021 (AWS) iaitu Misha (MUSE 4) dan Paul (MUSE 6) mengundang kejutan apabila mereka berdua menerima tawaran berlakon dalam filem dan drama Malaysia terbaru tidak lama lagi.

Lakonan Misha dan Paul yang pertama kali berbahasa Melayu ternyata memikat hati salah seorang pendengar yang juga bergelar penulis skrip dan drama filem tempatan.

Paul MUSE 6


“Kebetulan saya sedang menyiapkan sebuah skrip baru yang mahu melibatkan aktor dari Korea. Saya memang mencari bakat dari Korea untuk naskah terbaru saya. Saya lihat Misha dan Paul berpotensi besar untuk watak berkenaan,” kata penulis skrip Amirul Haswendy.

Selain Misha dan Paul, juri pada malam itu juga iaitu aktor Tony Eusoff turut ditawar berlakon untuk naskah berkenaan. Malah, Tony berbesar hati untuk melebarkan sayap ke Korea selepas pertanyaan melibatkan tawaran tersebut diajukan kepadanya.

Misha MUSE 4


Cabaran lakonan yang berlangsung pada malam 28 Ogos bermula dari jam 10 malam hingga 11 malam itu turut membuatkan ramai terkesima kerana Misha dan Paul mampu berdialog dalam bahasa Melayu dengan baik sekali serta mampu diperbaiki lagi. Ia turut dipersetujui Tony Eusoff dan dua juri yang lain yang terdiri daripada Adrian Williams, Pengarah filem dan Animasi  bersama Patricia Sargunan selaku Penerbit Eksekutif Knowmad Productions.


Keputusan bagi cabaran lakonan ini akan diumumkan pada Sabtu 4 September 2021. Persaingan cabaran ini turut disertai seorang lagi finalis AWS iaitu Kwon Hee (MUSE3) yang telah beraksi pada cabaran lakonan minggu pertama di Clubhouse Dramanovela. Finalis Young Su (MUSE 7) tidak dapat menyertai cabaran ini kerana sibuk dengan penggambaran di Korea kerana status dirinya bergelar pelakon dan model.

KWON HEE MUSE 3

Anda juga boleh menjadi penentu siapa yang bakal memenangi cabaran ini dengan mengundi mereka di laman Instagram Dramanovela sekarang. Anda juga boleh mendengar semula lakonan mereka di laman tersebut. Anda pasti teruja.

Kongsikan artikel ini