Malah, Hanbyul pula memilih syarikat pengurusan 100% Malaysia untuk menguruskan kariernya di Malaysia walaupun sebelum ini syarikat yang menguruskannya adalah milik orang Malaysia dan Korea. Dari sini timbul pula desas-desas bahawa mereka berdua bercerai kerana pergaduhan dan tidak sebulu.
Penafian telah dibuat dan dua figura yang mempunyai pangkal nama H ini selesa berkawan sebagai penyanyi berbanding penyanyi dan pengurus. Selepas senyap seketika, awal Januari 2021 dikejutkan pula apabila kedua-dua mereka telah mengumumkan comeback pada bulan yang sama.
Sebelum mengumumkan berita comeback ini, Hanbyul terlebih dulu memaklumkan kini dia baru saja menandatangani kontrak dengan pengurusan Korea yang baru iaitu Big Ocean ENM. Malah, dia juga turut muncul kolaborasi dengan trio youtuber dari Korea iaitu Blimeys untuk projek mempromosikan Malaysia di Korea.
Pengumuman comeback Hanbyul di laman instagram membuatkan peminatnya bernama Twinklers teruja dan tidak sabar menantikan album berjudul Use To This dilancarkan. Difahamkan, album tersebut dijadualkan lancar pada 14 Januari 2021 yang mana teaser lagu tersebut sudah pun dikeluarkan pada 13 Januari di laman instagram rasmi pengurusannya di Korea.
Dalam durasi yang sama, Hyunmin-A yang sepi sebagai penyanyi selama 6 tahun turut mengumumkan comeback dengan single terbaru yang berjudul 백신VAKSIN. Lagu tersebut difahamkan ditulis dalam dwi bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Korea. Walaupun masih belum mengumumkan tarikh sebenar lagu ini dilancarkan, peminat sudah pun boleh pre-order lagu tersebut di Itunes atau Apple Music mulai 9 Januari 2021.
Apa yang pasti, kedua-dua peminat penyanyi ini sangat teruja menantikan lagu tersebut kerana sama seperti Hyunmin-A, Hanbyul juga telah lama tidak melahirkan lagu baru Korea yang dilancarkan sepenuhnya di Korea. Sebelum ini, Hanbyul hanya tampil dua lagu baru bahasa Melayu Luka Dan Bahagia dan Retak yang menjadi OST drama Dendam Cinta Arissa.