Penyanyi Indonesia, Ardito Pramono Dakwa Lagunya Diguna Pakai Program Korea Tanpa Izin

Nama penyanyi dan komposer dari Indonesia, Ardito Pramono menjadi tular apabila dia mendakwa lagunya telah digunakan pihak stesen TV Korea untuk program seperti Three Meal A Day tanpa izin darinya.

Menurut laporan media pada 9 April, Ardito telah meluahkan kekesalan tersebut di akaun Instagram miliknya pada 7 April 2021.


“Saya selalu dengar lagu saya digunakan program variasi Korea. Saya tidak faham. Saya tidak pernah mengizinkannya. Saya perlu bercakap tentang hal ini.

“Pada mula, saya rasa bangga lagu saya digunakan dalam program Korea, tetapi lama kelamaan saya rasa ia sudah berlebihan. Lagu saya seperti sudah menjadi lagu publik di Korea. Ia seperti menjadi lagu percuma untuk program makanan,” katanya.


Penyanyi ini turut menambah, antara program Korea yang menggunakan lagunya itu ialah Say Hello, Superstar, 925 dan lagunya berjudul Bitterlove telah digunakan program di TVN iaitu Three Meals a Day.


Malah, netizen di Indonesia sendiri telah jumpa lagu tersebut yang diguna dalam program tersebut serta berkongsinya di laman youtube. Netizen Indonesia juga menasihatkan Ardito untuk mengambil tindakan undang-undang tentang copyright.



Bagaimanapun, dia menulis Kencanayo yang bermaksud tidak mengapa dan tidak mahu mengambil tindakan undang-undang.

Selepas tular, pihak TVN telah memberikan penjelasan mengenai isu ini. Difahamkan, Sony Music Korea yang bertindak sebagai publisher dan distributor dipercayai telah membayar kepada pihak organisasi Copyright Muzik Korea dengan membenarkannya. Oleh itu, pihak produksi telah menjelaskan bahawa ia adalah salah faham dan diharap isu ini sudah pun selesai.