Mabuk Ketika Memandu, Ahli AB6IX- Lim Young Min Dibuang Dari Kumpulan

Ahli kumpulan AB6IX iaitu Lim Young Min telah ditangkap Polis kerana mabuk ketika memandu pada 31 Mei 2020 dan lesen memandunya telah digantung serta merta. Berita ini telah disahkan pengurusannya iaitu Brand New Music yang turut memaklumkan bahawa jejaka ini akan direhatkan dari aktiviti kumpulan yang dijadualkan aktif semula pada 8 Jun tetapi ditunda kepada 29 Jun 2020.

Susulan berita ini, Young Min pula telah mengeluarkan kenyataan maaf secara rasmi beberapa hari selepas berita ini tular dan mengejutkan peminat AB6IX.


“Saya berasa malu dan mohon maaf dengan berita ini. Saya telah mengecewakan ramai orang termasuklah peminat yang tidak henti menunggu dan memberikan sayang. Saya juga telah menjadi abang yang tidak berguna kepada ahli lain. Saya juga nak minta maaf kepada agensi kerana telah mencemarkan nama baik syarikat.

“Semua ahli kumpulan dan tenaga kerja agensi telah bekerja keras untuk comeback kami. Namun, disebabkan kelalaian dan kesilapan ini, segalanya usaha keras mereka terjejas dan saya betul-betul malu.

“Saya sedar kesilapan saya. Sebab itulah saya rasa terkesan dan menyesal. Saya akan menerima apa saja kritikan dan kutukan dari kesilapan saya. Kepada semua yang masih percaya dan sokong saya, saya betul-betul minta maaf,” katanya.

Bagaimanapun, selang berapa hari dari permohonan maaf itu iaitu pada 8 Jun 2020, Brand New Music telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Lim Youngmin bukan lagi ahli AB6IX selepas kemalangan yang melibatkan dirinya mabuk.

Menerusi kenyataan tersebut, pihak pengurusan memutuskan bahawa hal sedemikian telah diputuskan selepas berbincang dan menitik beratkan banyak perkara.

Young Min bukan lagi AB6IX.


“Agensi kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang berikan sokongan dan sayang kepada AB6IX. Selepas berbincang dan atas permintaan Young Min, kami telah membuat keputusan bahawa dia bukanlah lagi ahli AB6IX. Keputusan ini demi menjaga reputasi AB6IX.


“Kumpulan ini akan terus membuat promosi tanpa Youngmin dengan mengekalkan 4 orang ahli saja. Kami juga mohon maaf kerana memaklumkan berita sedih ini kepada peminat. Kami berharap peminat terus memberikan sokongan dan sayang kepada AB6IX,” jelas Brand New Music.

Kini AB6IX hanya tinggal Kim Do Hyun, Lee Dae Hwi, Jeon Woong dan Park Woo Jin.

Kongsikan artikel ini