Dia Jodohkan Hanbyul, Kini Hyunmin-A Dilantik National Director Korea

Tidak mudah bagi seorang penyanyi berasal dari Korea menjadi siulan orang Malaysia jikalau peminat itu tidak meminati drama dan muzik K-Pop. Namun, penyanyi lagu Luka & Bahagia iaitu Jang Han Byul mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kegilaan ramai peminat tempatan yang bukan saja dari kalangan anak muda tetapi juga golongan dewasa.  Impak yang diperoleh Han Byul ini diterima sebaik saja dia menyertai program Big Stage musim kedua sekali gus mengangkatnya sebagai juara.

 

Aksi Hanbyul dan Hyunmin-A di belakang pentas Big Stage.

Namun, ramai tidak tahu, bakat luar biasa Han Byul tidak boleh dikesan tanpa kepercayaan yang diberikan anak muda tempatan yang berada dalam industri hiburan Korea iaitu Hyunmin-A. Tatkala produksi Big Stage mencari bakat dari Korea, produser program tersebut telah menghubungi Hyunmin-A yang juga Duta Gateway Korea dan Malaysia. Menerusi lamaran itu, Hyunmin diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk memilih dan mencalonkan nama peserta dari Korea. Dari situ, Hyunmin telah mencalonkan banyak nama yang tergolong dari kalangan rakan penyanyinya di Korea namun tiga nama termasuklah Hanbyul yang paling menepati syarat yang ditetapkan.

Hanbyul dan Hyunmin-A juga akrab sebagai abang dan adik.

Sewaktu dilamar Hyunmin-A, ketiga-tiga calon ini tidak tahu menahu mengenai program Big Stage. Pun  begitu, bersandarkan pengalaman Hyunmin-A yang pernah berkhidmat di Astro sebelum bergelar penyanyi di Korea, calon-calon ini begitu meminati untuk menyertai program realiti berkenaan. Selepas meneliti, Hanbyul yang berjaya melepasi semua syarat program itu.

Hyunmin-A juga bergelar penyanyi dan model.

Kedatangan Hanbyul ke Malaysia dari mula pendaftaran sehinggalah berakhirnya Big Stage diuruskan Hyunmin-A  sepenuhnya yang bertindak sebagai pengurus Hanbyul di Malaysia. Malah, Hyunmin-A juga merupakan guru Bahasa Melayu dan budaya untuk Hanbyul. Oleh itu, tidak hairanlah, Hanbyul sangat mengenali Malaysia sepanjang Big Stage. Malah, setiap tagline, corak persembahan dan punchline Hanbyul dalam Big Stage diajar dan menerima khidmat nasihat dari Hyunmin. Dalam erti kata lain, Hyunmin-A juga adalah orang yang bertanggungjawab menjodohkan Hanbyul dengan Malaysia. Hanbyul juga jatuh cinta kepada Malaysia kerana Hyunmin-A.

 

Kejayaan Hyunmin-A mengetengahkan bakat Korea di Malaysia bukanlah di mulai oleh Hanbyul. Sebaliknya dia juga berjaya mencipta Mister Langkawi 2019 yang mana pemenang pertandingan tersebut ialah model dari Korea iaitu Min Kyu. Hyunmin juga banyak membawa pelakon dan penyanyi Kpop yang lain ke Malaysia.

 

Kini Hyunmin-A mengorak langkah lebih besar pada tahun 2020. Selepas pulang dari umrah bersama keluarga pada penghujung Januari 2020, Hyunmin-A mengesahkan bahawa dia kini menerima tanggungjawab baru selain meneruskan tugasan sebelum ini termasuklah mencari peserta baru untuk Big Stage musim ketiga.

 

Bakat Hyunmin-A dalam mencipta dan mengajar bakat baru dari Korea turut dihidu pasukan pageant antarabangsa yang kini berebut-rebut melamar Hyunmin-A sebagai National Director untuk Korea. Menariknya, ada juga yang melamar Hyunmin untuk menjadi National Director bukan saja untuk Korea tetapi juga untuk Malaysia. Kesemua tawaran yang diterima datang dari Kanada, Manhanttan, Myammar, Thailand dan Filipina.

 

Hyunmin-A berkongsi foto umrah di laman instagramnya.

Pihak tersebut mengesahkan, tawaran tersebut diberikan kepada Hyunmin kerana dia mempunyai ciri-ciri terbaik sebagai National Director. Malah, dia juga benpengalaman sebagai model di pentas peragaan komersil dan catwalk. Imej dan penampilan Hyunmin juga sering mendapat perhatian dan menjadi ikutan.

 

Penampilan Hyunmin-A seperti jejaka arab mendapat pujian.

Pun begitu, Korea Buzz difahamkan, dari lebih 10 lamaran tersebut, Hyunmin-A sedang menilai 6 tawaran saja termasuklah Mister Model Of The World, Mister Tourism Global, Mister & Miss Runaway Universe, Man Of The Universe, Mister & Miss Asian Internasional dan Altitude Model Look.  Menerusi tugasan baru ini, Hyunmin-A bertanggungjawab dan berkuasa untuk memilih figura yang boleh mewakili Korea. Malah, Hyunmin juga akan melatih individu ini untuk bergelar juara seperti Hanbyul dan Minkyu. Seandainya anda ketahui bakat yang boleh dilatih dan mencukupi kriteria, anda bolehlah hubungi Hyunmin-A di laman instagramnya iaitu Hyunmin-A. Bakat ini juga terbuka buat warganegara tempatan.

 

Syabas dan tahniah EH! Korea Buzz ucapkan kepada Hyunmin-A kerana berjaya dilantik sekaligus mencipta rekod baru dalam dunia peragaan dan hiburan. Semoga penglibatan beliau mendapat sokongan terus dari Korea dan Malaysia.

 

Penampilan Hyunmin-A sewaktu menjadi penghias majalah di Korea (kiri) dan penampilan terbaru Hyunmin-A sewaktu mengerjakan umrah.

 

Kongsikan artikel ini