Park Bo Gum Bikin Peminat Malaysia Angau di Good Day Asia Tour 2019

Kehadirannya kali ini buat ramai angau lagi. Aktor berwajah manis tinggi lampai ini nyata tidak menghampakan harapan ribuan peminatnya di Malaysia dalam siri jelajah Park Bogum Good Day Asia Tour 2019. Walaupun sudah mengadakan sesi fan meeting ini di kota Asia lain sebelum ini, ternyata Bo Gum masih mampu melakar momen indah dengan beberapa kejutan khusus buat peminat tempatan.

 


 
Dalam sidang media yang berlangsung sehari sebelum itu, Bo Gum menyatakan bahawa dia amat menantikan reaksi peminatnya dengan apa yang bakal dipersembahkan nanti. Pada sesi yang sama, aktor kesayangan Korea Selatan ini turut berkongsi keinginannya untuk bercuti di Langkawi, Kota Kinabalu serta beberapa tempat di Kuala Lumpur yang dia masih belum sempat lawati walaupun sudah tiga kali ke sini.
 
Pentas serba ringkas dengan tiga skrin gergasi beserta anak tangga di tengah membuka tirai sebaik jam berdetik 6 petang. Park Bo Gum muncul apabila skrin tengah terbahagi dua sambil mendendangkan lagu I Like You sebagai pembukaan menyambut peminatnya di Plenary Hall, KL Convention Centre itu.
 
“Saya pakwe awak, Park Bo Gum,” mengundang gempita dewan. Ayat yang dipelajari ketika sesi bertemu media itu sememangnya sinonim lewat jolokannya sebagai Korea’s National Boyfriend. Melakar senyuman sepanjang sesi temubual oleh Owen Yap yang bijak membuat bintang kesayangan K-Wave selesa di pentas.
 

 
Antara beberapa topik yang dibualkan bersaksikan peminat Bo Gum adalah mengenai aktivitinya selepas selesai penggambaran drama Encounter. Aktor yang bergandingan dengan Song Hye Kyo dalam drama itu telah memulakan Asia Tour dan gembira dapat kembali ke Malaysia kerana rindu serta gembira masih kenal dengan wajah-wajah peminatnya di sini.
 
Cukup pandai Bo Gum mengambil hati peminat dengan melontarkan ucapan-ucapan manis serta memberi reaksi pabila ada yang menjerit dari audien. Lebih mengujakan saat dua peminat bertuah dipanggil untuk bersamanya di atas pentas melakonkan kembali babak dalam drama Encounter.
 
Juga ramai peminat yang berpeluang untuk memenangi pelbagai barangan pilihan serta peribadi milik Bo Gum yang dibawa khas dari Korea. Paling bertuah adalah peminat yang membawa pulang pewangi aromaterapi yang dihias dan dibuat sendiri oleh Bo Gum di atas pentas.
 

 
Momentum fanmeet ini menjadi makin hangat apabila Bo Gum kembali ke pentas tetapi kali ini muncul dari tempat audien serta berjalan serata dewan membuatkan ribuan peminatnya lebih teruja untuk melihat aktor ini dengan lebih dekat. Segmen ini menyaksikan aktor yang popular melalui drama Reply 1997 dan Love In The Moonlight ini mendendangkan beberapa lagu termasuk Let’s Go See The Stars, Through The Night, Always Be With You dan My Dearest.
 
Tanpa melengahkan masa berharganya, Bo Gum kembali ke pentas dengan persalinan yang lebih santai dan kali ini dengan persembahan yang lebih bertenaga mendendangkan lagu ceria Bounce dan Honey. Aksi pentasnya diteruskan dengan lagu With You, Swallowing With My Heart, Entertainer dan Here With You.
 

 
Kemuncak fan meeting ini adalah apabila sebuah grand piano ditolak masuk ke tengah pentas. Bo Gum dengan tenang mula bermain dan kala suaranya mengalunkan bait pertama “Seindah… tiada lagi kau ingatkan… saying kau hilang…” seluruh dewan bersorak kagum dan bersama-sama menyanyikan Belaian Jiwa bersama Ahmad Bogum.
 

 
Ternyata kebolehannya mendendangkan lagu evergreen ini cukup mengagumkan. Kalau tidak tentu sekali tontonan video di YouTube EH! sudah mencecah lebih 29,000 (setakat artikel ini ditulis) dan komen positif dari peminat mahupun bukan cukup mengujakan.
 
K-Buzz juga telah mendapat reaksi dari kumpulan Innuendo yang pernah merakam semula lagu Belaian Jiwa ini dan mereka turut gembira lagu asal oleh kumpulan Carefree ini dipilih oleh seorang bintang Hallyu untuk dinyanyikan di Kuala Lumpur.
 
Seperti biasa, persembahan yang disangka sudah berakhir dihidupkan semula dengan pentas encore. Bo Gum dan penari muncul di pentas menari comel lagu What Is Love? dan Pretty U diikut dengan lagu Must Have Love dan berakhir dengan I Bless You.
 
Lebih dua jam bersama Park Bo Gum memang tidak terasa masa berlalu. Paling menggembirakan semua 3,000 penonton yang hadir adalah sesi high-touch bersama Bo Gum di pintu keluar. Kesungguhannya untuk mengekalkan “trademark” bertemu dengan semua peminatnya cukup mengharukan. Walaupun dia menyarungkan glove, dapat tepuk tangannya sambil melihat wajahnya tersenyum manis secara dekat memang istimewa.
 

 
Siapa kata pelakon sukar untuk pelbagaikan platform mereka? Selain berlakon, sedikit kebolehan menyanyi dan menghiburkan penonton secara live adalah medium yang bagus untuk diketengahkan.
 

 
Artis Korea bijak mempelbagaikan punca pendapatan mereka dan tak perlu bergantung kepada media sosial semata-mata dan ini membuat mereka tampil lebih eksklusif. Peluang bertemu dengan peminat sebegini adalah antara aktiviti yang bukan saja menguntungkan dari segi bisnes tetapi juga satu fan service yang bagus untuk menyemarakkan kesetiaan peminat.
 
Terima kasih kepada pihak AC Music serta Blossom Entertainment yang merealisasikan acara ini. Juga tahniah kepada pembaca bertuah EH! yang berjaya memenangi tiket menyaksikan Park Bo Gum di Good Day Asia Tour.
 

Kongsikan artikel ini