Putus Cinta Dengan Miss Korea Honey Lee, Yoon Kye Sang Sah Tinggalkan Agensi

Pelakon kacak yang juga bintang Kpop terawal, Yoon Kye Sang dilaporkan meninggalkan agensi yang banyak membantu karier lakonannya sejak 2013 iaitu Saram Entertainment. Tindakan pelakon ini dikatakan berhubung kait dengan perpisahannya dengan bekas Miss Korea yang juga aktres terkenal Korea iaitu Honey Lee atau Lee Hanee.

Kye Sang membuat keputusan untuk tidak lagi bersama agensi berkenaan kerana dialah orang yang bertanggungjawab memasukkan bekas kekasihnya itu ke dalam syarikat berkenaan pada 2014.

Keputusan ini telah disahkan Saram Entertainment yang menyatakan bersetuju menamatkan kontrak dengan aktor ini selepas melalui pelbagai perbincangan. Difahamkan keputusan ini turut dilaksanakan Kye Sang kerana mahu berehat seketika dari industri hiburan.



Dalam masa yang sama, agensi ini turut mengesahkan bahawa Kye Sang dan Honey Lee secara sah bukan lagi pasangan kekasih. Malah, mereka lebih selesa sebagai rakan artis dalam agensi yang sama saja. Bagaimanapun, mereka berharap terus mendapat sokongan dari peminat.

Pengesahan ini sekaligus menjawab desas desus yang tular sejak 11 Jun lalu yang mendakwa pasangan ini sudah lagi tidak bersama. Bagaimanapun, sewaktu berita ini tersebar, pihak mereka tidak mengesahkan dan hanya meminta masa untuk mendapatkan pengesahan dari kedua-dua belah pihak.  



Pasangan ini telah mengesahkan mereka pasangan kekasih sekitar tahun 2013. Kemudian, mereka telah kantoi bergaduh dan berpisah banyak kali. Bagaimanapun, Honey Lee telah tampil dan mengatakan mereka masih lagi bersama pada Oktober 2019.

Apa sekalipun, sekarang ini kedua-dua mereka sudah sah solo dan mengambil masa untuk rehat dari kesedihan putus cinta.

Kongsikan artikel ini