Remake Coffee Prince: Nigel Daniel Caras Fattah Amin?

Sungguhpun belum mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, pemenang tempat kedua Mr National Universe 2017 iaitu Nigelvan Daniel bersedia menggalas tanggungjawab untuk berlakon drama remake Coffee Prince.

 

 

Nigel atau Fattah yang mampu pegang watak lakonan Gong Yoo?

 

Namun begitu, Nigel yang berstatus sebagai penuntut kolej tiada niat untuk mencaras periuk nasi Fattah Amin. Sebaliknya, dia sangat terkejut apabila dimaklumkan bahawa namanya disenaraikan peminat tegar Korea untuk menjadi hero Coffee Prince Malaysia.

“Saya dimaklumkan oleh pengurus saya mengenai hal ini. Pada mulanya saya berasa sangat terkejut. Namun, apabila difikirkan secara positif, ia adalah peluang terbaik buat saya. Mungkin peminat tegar Korea Nampak sesuatu yang ada pada diri saya.

 

“Setakat ini, saya masih belum menerima sebarang tawaran dari pihak Michael Ang mahupun Astro. Namun, saya sedia berlakon bila-bila masa saja. Kebetulan pula saya sedang cuti semester sehingga September nanti,” kata Nigel.

 

 

Pernah menolak tawaran menjadi hero di Thailand, Nigel menegaskan bahawa dia bukannya memilih tetapi menangguhkan seketika tawaran dari produksi tersebut.

 

“Untuk tawaran di Thailand, saya perlu berbahasa Thailand. Jadi, saya terpaksa menangguhkan tawaran tersebut dan akan terima semula selepas saya fasih belajar bahasa Thai nanti.

 

“Saya memang meminati drama dan filem dari Korea. Namun bukanlah sebagai peminat fanatik. Saya tahu kehendak untuk menjadi pelakon di Korea, jadi saya amat memahami isu bantahan peminat terhadap Fattah Amin,” ujarnya.

 

 

Nigel dan Alvin mendapat perhatian untuk remake Coffee Prince.

 

Walaupun baru berusia 22 tahun, Nigel yang peramah orangnya yakin pemilihan dia untuk dijadikan calon bukanlah kerana wajah tampan dan susuk tubuhnya.

 

“Saya rasa mereka calonkan saya sebab personaliti saya. Terus-terang, saya betul-betul tidak terfikir saya boleh berada ditangga teratas selepas undian dijalankan oleh portal EH!.

 

 

“Saya merasakan Alvin Chong lebih layak menjadi hero Coffee Prince memandangkan dia mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan. Namun, saya tidak kisah sama ada terpilih atau pun tidak.

 

 

“Saya juga bersedia kalau tawaran yang diterima oleh saya nanti hanyalah sekadar pelakon tambahan dalam Coffee Prince nanti. Sejujurnya, saya sendiri belum pernah menonton drama Coffee Prince,” jelasnya yang dalam proses menonton dan mengkaji watak Gong Yoo dalam Coffee Prince.

 

Kenangan Manis Nigel Tatkala meraih tempat kedua pertandingan Mister National Universe 2017.

 

Sementara itu, Nigel juga tidak akan kecewa kalau rezeki tidak memihak kepadanya. Pun begitu, jejaka tinggi lampai ini memegang hasrat untuk menjadi kekasih Janna Nick dalam drama berkenaan.

 

“Jika bukan Coffee Prince, mungkin rezeki saya untuk drama lain. Setakat ini saya lebih fokus kepada bidang peragaan. Syukur, tawaran dalam bidang ini memihak kepada saya sebaik saja meraih naib johan dalam pertandingan Mr Universe di Thailand baru-baru ini.

 

 

“Saya juga dalam perancangan kembangkan lagi bakat ke Thailand, Filipina dan Jepun. Namun, segalanya masih dalam perancangan lagi. Fokus utama saya adalah menamatkan pengajian saya yang tinggal setahun saja lagi,” luah Nigel yang petah berbicara.

Kongsikan artikel ini