Sah Join TROS, Kang Gary Bakal Ke Malaysia Buat TV Show Dengan Siapa Tu?

Peminat setia personaliti dan rapper terkenal Korea, Kang Gary gembira apabila mendapat tahu, bekas personaliti program Running Man ini bakal kembali ke kaca TV dengan menyertai program The Return Of Superman (TROS) di KBS. Berita gembira ini telah disahkan oleh pihak penerbitan program The Return Of Superman yang baru saja menerima anugerah besar dalam penganjuran anugerah di Korea, baru-baru ini.

 

Keputusan mendiamkan diri selama lebih 2 tahun membuatkan jejaka ini lebih bersedia bertemu peminat pada 2020. Gary yang menarik diri dari RunningMan sebelum ini lebih mahu fokus ke alam perkahwinan dan kini dia lebih selesa dengan bergelar bapa. Namun, ramai tidak tahu, Gary sebenarnya telah pun kembali menjadi artis dengan bergelar DJ dan menerbitkan album beberapa artis Korea. Malah, Gary juga telah merancang sesuatu yang besar pada 2020 demi peminat dan penyokong setianya.

 

Keaktifan Gary telah dikongsikan sendiri figura ini di saluran Youtube miliknya. Namun, tidak kesemua dikongsi Gary kerana ada banyak perancangan tersebut masih dalam perbincangan dan melibatkan pasukan yang besar. Ada juga melibatkan nama-nama besar di Korea seperti rappers popular dan komposer popular.

 

Dalam pada itu, EH! KOREA BUZZ mendapat tahu, Gary yang pernah tular di Malaysia kerana isu cendol berminat lebih dalam bidang penerbitan program TV. Dia dikatakan sangat berminat untuk menerbitkan Travel Show. Atas dasar itu juga, Gary dengan inisiatif sendiri telah berkongsi video-video dia melancong bersama keluarga di laman youtubenya. Atas faktor ini jugalah, Gary bersetuju dan disunting program The Return Of Superman.

 

Istimewanya, Gary juga telah bersetuju untuk sekali lagi datang ke Malaysia untuk sebuah program Travel di Malaysia. Difahamkan, program tersebut bakal diterbitkan pihak produk Malaysia yang sebelum ini pernah menerbitkan program besar seperti Akademi Fantasia, Sehari Bersam Idola dan beberapa muzik video artis tempatan seperti Floor 88, Hazama dan banyak lagi. Program yang masih belum mempunyai tajuk dan konsep yang sah itu bakal melibatkan banyak lokasi menarik dan lebih 14 lokasi sedang diintai. Katanya lebih banyak kampung yang akan dipilih.

 

Bersama anaknya.

Tambah menarik lagi, program ini dirancang turut melibatkan ramai rapper popular tempatan seperti MK, Joe Flizow, Zizi Kirana dan ramai lagi. Walaupun masih di peringkat perancangan lagi, program ini dikatakan bakal menjadi viral berikutan Gary yang sebelum ini secara tidak sengaja digelar Gary Cendol oleh segelintir netizen kerana perkongsian beliau tentang minuman tersebut yang telah membuat peminat Malaysia dan Indonesia bertelagah di laman sosial.

 

Apa sekalipun, Gary juga sangat teruja dan berharap kembalinya beliau semula ke kaca TV akan diterima peminat bukan saja di Korea tetapi juga diseluruh dunia. Lebih-lebih lagi peminat Malaysia kerana dia lebih teruja mengadakan program travel tersebut di Malaysia. Apa yang pasti, projek travel itu akan dimulai di Malaysia dan bakal disusuli di negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia dan Thailand. Diharapkan, program yang diterbitkan di Malaysia nanti menarik dan mampu juga membantu meningkatkan pelancongan di Malaysia. Alangkah baiknya ia mendapat sokongan penuh dari Kementerian Pelancongan Malaysia. Betul Tak?

 

 

Kongsikan artikel ini