Selepas 17 Tahun Jadi KPOP Star, Changmin TVXQ Kahwin 5 September 2020

Tanpa berselindung, bintang Kpop dari duo TVXQ, Changmin secara rasminya telah mengumumkan bahawa dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan kekasih hati. Pengumuman ini telah dibuat Changmin pada 12 Jun di Instagram peribadinya dengan menyelitkan surat tulisan tangan kepada peminat.


“Bukan mudah untuk saya mengumumkan berita ini. Saya sangat gugup ketika menulis surat ini. Hati saya sangat berat memikirkan soal ini kerana saya tahu peminat mesti terkejut dan sedih mendengar pengumuman saya.

“Bagaimanapun, saya rasa ini adalah tugas saya untuk memberitahu perkara yang paling penting dalam hidup saya. Selepas lebih kurang 17 tahun bergelar bintang KPOP dari seorang budak hingusan sehingga menjadi lelaki usia pertengahan 30an, saya abdikan diri saya untuk TVXQ.

“Banyak kisah suka duka saya bersama Yunho dan peminatlah yang menjadi tulang belakang kami. Terima kasih atas segalanya. Ramai sedia maklum tentang berita bahawa saya sedang menjalinkan hubungan dengan seorang wanita.  Hubungan kami serius dan saling mempercayai.

“Saya juga telah berjanji mahu menghabiskan hidup saya bersama dia. Kami akan berkahwin pada September nanti. Menerusi surat ini, saya juga menghargai Yunho yang amat memahami keputusan saya ini serta kakitangan syarikat yang ikhlas memberikan nasihat,” antara luahan penting terkandung dalam surat Changmin.

Bersama sahabat dan ahli TVXQ, Yunho.

Mengukuhkan lagi pengumuman ini, SM Entertainment yang menguruskan karier Changmin turut mengeluarkan kenyataan rasmi.

“Kami secara rasmi mengumumkan bahawa Changmin akan berkahwin dengan pilihan hatinya pada 5 September 2020. Dalam mempertimbangkan pasangannya yang bukan selebriti dan menghormati keputusan keluarga mereka, lokasi dan masa perkahwinan dirahsiakan kerana ia akan diadakan untuk keluarga saja.

“Diharap peminat dan pihak media memahami keputusan ini. Changmin juga akan terus menyambung aktivitinya sebagai artis dan ahli TVXQ. Kami berharap semua orang dapat merestui keputusan ini dan menyokong Changmin yang bakal bergelar suami,” kenyataan dari SM Entertainment.

Kongsikan artikel ini