Gara-Gara Kontroversi Daud Kim, Komuniti Islam Korea Dicaci & Dicemuh Dunia

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Difahamkan, angkara kontroversi yang melibatkan youtuber Korea bernama Daud Kim, Komuniti Islam Korea yang masih lagi kecil tetapi sedang berkembang luas dilanda musibah. Macam-macam tuduhan yang dibuat ke atas mereka yang bukan saja datang dari masyarakat bukan Islam Korea tetapi juga masyarakat antarabangsa dan Islam yang menjadi pengikut setia Daud Kim.

Walaupun Daud Kim bukanlah artis popular Korea sebaliknya youtuber Korea yang popular dikalangan peminat Korea dan Kpop seluruh dunia, Komuniti Islam Korea turut sama diheret dengan masalah yang menimpa Daud yang sebelum ini lebih dikenali dengan nama Jay Kim atau nama sebenarnya Kim Jaehan.

Menurut sumber terdekat, sebelum Daud Kim memeluk Islam atau didakwa menggunakan Islam hanya untuk glamor dan meraih publisiti, pihak mereka sebenarnya sudah menghidu niat buruk figura ini. Namun, pada masa itu, mereka tidak menyangka Daud berjaya berjaya antara ikon youtuber popular sehingga mempunyai 2 juta subscriber di laman youtube.

Memandangkan kisah ini sudah mendapat liputan media utama di Korea, masyarakat Korea bukan Islam sudah mula memandang serong dengan masyarakat Islam di Korea. Pelbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan kepada orang Islam Korea kerana isu salah laku seks yang melibatkan Daud Kim. Sesungguhnya, isu gangguan seksual merupakan isu paling sensitif. Ramai selebriti Korea merana selepas terlibat dalam isu sebegini.

Penularan kes Daud Kim di seluruh dunia memaksa pihak berkenaan menjadi sibuk dengan pelbagai pertanyaan sedangkan masalah ini berlaku di luar kawalan mereka. Namun, menyedari hakikat dugaan perjuangan sebagai pemeluk agama Islam, mereka tabah. Kasihan juga, ramai mualaf Korea yang turut sama aktif di sosial media dihentam kerana isu ini. Mereka dituduh cuba menjatuhkan Daud serta memulaukan Daud yang kini mengaku sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 2 tahun.

Sebelum ini, pihak berkaitan dari Komuniti Islam pernah memberi amaran mengenai beberapa orang yang sengaja menggunakan Islam untuk mencari duit dan popular. Malah, mereka sebenarnya menjadi pelik kerana trend menggunakan Islam jadi popular dan sukar dibendung. Apa yang pasti, kesemua youtuber Mualaf Korea kini diragui status mereka atas apa yang berlaku sekarang ini.

Oleh itu, pihak tersebut berharap pengikut Daud Kim atau mana-mana mualaf Korea lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu. Terutama sekali tentang Islam. Hakikatnya, mereka sebenarnya lebih tahu siapa yang betul-betul Islam dan siapa pula hanya guna nama sebagai Islam. Hakikatnya mereka tidak boleh menolak perangai sebegini kerana sebagai mualaf Korea, mereka lebih tahu budaya orang Korea yang sudah sebati.

Dengan kesedaran ini, Korea Buzz berharap masalah dan kontroversi ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menyinggung banyak pihak. Sesungguhnya, setiap masalah boleh selesai dengan baik dan cepat jikalau tidak diselitkan dengan emosi dan ego. Setuju?

Kongsikan artikel ini