Tidak Sihat Punca Zirafah Sah Ikut Jejak Kang Gary Tinggal Running Man Buat Selamanya!

Desas-desus yang mengatakan pelakon dan model, Lee Kwang Soo yang digelar zirafah dalam program popular Running Man meninggalkan program berkenaan bertemu kata putus selepas pihak produksi mengesahkan bahawa penggambaran bulan Mei merupakan yang terakhir buat aktor tinggi lampai ini.

Nama Kwang Soo yang sangat menyerlah menyertai program ini selama 11 tahun turut mengesahkan hal tersebut yang mana dia mula menyertai program ini pada Julai 2010.

Walaupun sedih, rakan seangkatan program tersebut menerima keputusan Kwang Soo yang berundur diri dari program tersebut kerana faktor kesihatan.

Selain Yoo Jae Seok yang memainkan peranan utama dalam program terbitan SBS ini, Kwang Soo amat disayangi penonton bukan saja di Korea sebaliknya di seluruh negara yang mengikuti program ini. Malah, Kwang Soo diperakui disukai kerana tutur katanya yang sopan tapi lucu. Dia juga amat disukai pihak produksi kerana komitmen yang diberikannya kecuali dia terpaksa bercuti selama sebulan kerana mengalami kemalangan jalan raya yang berlaku pada Februari 2020.

Agensi Kwang Soo iaitu King Kong By Starship menyatakan bahawa kemalangan yang menimpanya tahun lalu membuatkan kesihatannya kurang memuaskan. Malah, dia mengalami kesukaran untuk kekal sihat seperti dulu. Selepas kemalangan tersebut, Kwang Soo perlukan masa yang cukup untuk kembalikan badan, fizikal dan minda sihat seperti sedia kala.


“Amat sukar bagi saya untuk tinggalkan program yang saya terlibat selama 11 tahun. Tapi Saya terpaksa akur dengan mengambil keputusan bahawa saya perlukan masa untuk fizikal saya bagi menyerlahkan mutu kerja saya pada masa akan datang.

“Terima kasih yang tidak terhingga dengan minat dan saya anda untuk saya menerusi Running Man, “ kata Kwang Soo.  


Keputusan yang dibuat ini sekaligus mengesahkan gosip yang tular sebelum ini dengan menyatakan Kwang Soo meninggalkan Running Man. Malah, Kwang Soo akhirnya mengikuti jejak langkah Kang Gary yang sebelum ini berhenti kerana mahu fokus pada keluarga.