1 Hari Lepas MV Raya Disiarkan, Orang Asli D’Handsome Say Good Bye & Produser Rugi Besar!

Lagu Joget Seloka Raya Kolaborasi Hyunmin-A bersama D’Handsome dianggap unik kerana ia pertama kalinya menggandingkan jejaka asli Korea, lelaki bangsa Cina, Melayu dan Orang Asli untuk mendendangkan lagu sambutan Aidilfitri.

Walaupun lagu ini tidaklah setular lagu raya yang lain, Korea Buzz difahamkan salah seorang ahli D’Handsome telah menarik diri sebaik saja music video lagu ini disiarkan di laman youtube MYS Studio. Ahli yang dimaksudkan adalah jejaka orang asli bernama Jeeks Atan.

Menerusi music video ini, Jeeks merupakan tunjang utama yang mana dia menjadi cucu kepada Atuk Reel yang terkenal di laman tiktok dengan nama Raja Emel. Penarikan diri Jeeks telah disahkan oleh penaung pengurusan mereka, HAE iaitu Hyunmin-A.

Sebab utama jejaka bangsa orang Asli ini menarik diri adalah kerana dia mahu fokus dengan pembelajarannya di Universiti. Malah dia dikatakan khuatir tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya apabila bernaung penuh di bawah HAE yang dimiliki Hyunmin-A dan Micheal Suh memandangkan kuliah sudah kembali natural seperti sedia kala yang mana dia perlu menghadiri kuliah secara bersemuka.

Jeeks Kiri Sekali.

Mengulas lanjut mengenai penarikan Jeeks, Hyunmin ternyata terkejut dan tidak menolak menghadapi kerugian besar kerana HAE telah membelanjakan wang yang banyak terhadap promosi dan produksi yang mana ia melibatkan D’Handsome termasuklah Jeeks.

“D’Handsome bukanlah kumpulan penyanyi. Sebaliknya mereka terdiri daripada pelakon dan model di bawah HAE. Tujuan kami menyatukan mereka dalam kumpulan ini adalah bagi memperkenalkan bahawa mereka merupakan bakat sah dalam pengurusan ini. Malah, mereka juga antara yang terawal bersama HAE dari Malaysia kerana sebelum ini HAE lebih fokus kepada bakat dari Korea saja.

“Sejujurnya kami kecewa dan sedih dengan keputusan Jeeks. Banyak perancangan telah diaturkan yang melibatkan dirinya menerusi lagu Joget Seloka Raya. Kalau bicara soal rugi, memang benar kami sudah pun rugi kerana keputusan saat akhir dia. Namun, inilah dinamakan perancangan.

 

“Setahu saya, Jeeks dan bakat lain dalam D’Handsome tidak menghadapi sebarang pergaduhan. Keputusan Jeeks lebih kepada masalah peribadi. Selepas ini, promosi Joget Seloka Raya tidak akan melibatkan Jeeks walaupun dalam MV dia adalah teraju utama. Secara sah, Jeeks tiada kena mengena lagi dengan HAE,” kata Hyunmin-A.

 

Bercerita lebih tentang isu ini, projek tersebut juga dijangka bakal mengadakan challenge menari di laman tiktok dengan memberikan hadiah berupa duit raya. Perkara tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.

 

“Kami tidak akan memaksa Jeeks untuk kembali bersama kami. Ini kerana, sebelum ini dia yang berminat sepenuhnya untuk meneruskan karier sebagai model bersama HAE. Pihak kami juga bakal menyunting semula segala poster dan kulit album yang tertera wajah dia.

“InsyaAllah, kami ada beberapa rancangan menarik berkaitan lagu ini. Dalam masa terdekat ini, kami bakal mengadakan Challenge Joget Seloka Raya di tiktok. Apa sekalipun, diharap lagu ini dapat memberikan warna dalam kemeriahan menyambut lebaran seperti sedia kala,” jelasnya.

 

Semoga D’Handsome yang lain iaitu Minho, Justin Ho, Jutty, Alan Chua dan Shieq lebih bijak dalam peluang yang diberikan menerusi projek Joget Seloka Raya ini.

Kongsikan artikel ini