Budaya Korea dan Jepun nampak sama dari segi cara hidup mereka. Walaupun mereka berjiran seperti Malaysia dan Indonesia, semangat bersaing itu kuat dan banyak juga masyarakat antarabangsa keliru dengan makanan dan pakaian yang nama sama tetapi berlainan cara buat dan rasa.
Jika dibandingkan dengan Jepun, masyarakat Korea lebih konservatif dan menjaga adat ketimuran. Malah, mereka lebih mengagungkan budaya Korea ke rentas dunia walaupun Korea kini sudah semakin moden dan kelihatan seperti masyarakat barat.
Sesungguhnya ramai keliru dengan budaya sauna, rumah mandi, mandi wap dan spa antara Korea dan Jepun. Paling ketara mengenai bab berbogel di hadapan orang yang tidak dikenali. Jika melihat dari segi budaya dan keberanian, orang Jepun lebih terbuka dalam hal ini. Tidak pula bagi masyarakat Korea.
Namun, orang Korea sebenarnya memang tidak akan mengenakan sebarang benang di badan apabila berada di sauna atau dikenali sebagai jimjilbang. Tidak kiralah lelaki mahu pun perempuan. Pun begitu, budaya ini lebih selesa dengan kenalan rapat dan keluarga serta sama jantina saja.
Jadi, seandainya anda menuju ke Jimjilbang, jangan pula anda menjerit dan hairan akan hal ini. Tetapi jika anda bersikap pelik dan mencurigakan, orang Korea akan rasa tidak selesa dan menganggap anda menganggu ketenteraman jimjilbang yang dipilih sebagai tempat untuk membersihkan diri dari tekanan, kekotoran dan dunia luar.
Selain Jimjilbang, satu lagi lokasi yang menjadi kebiasaan untuk orang Korea tidak berbaju atau berbogel adalah di bilik persalinan pusat gimnasium. Sama seperti di Jimjilbang, ia tidaklah campur jantina. Namun, ia tidak wajib untuk semua orang berbogel di situ seperti di Jimjilbang.
Walaupun pendedahan ini sudah dikongsikan, bukan bermakna anda boleh sewenangnya menilai orang Korea. Budaya sebegini bersebab dan bukannya diamalkan tanpa ada kebaikannya. Janganlah jadikan ini lokasi untuk anda intai atau persendakan mereka. Ini adalah privasi mereka jadi hormatlah privasi tersebut.