Sukses Puasa Penuh, Wanita Korea Bukan Islam, Miji Lee Bedal 10 Menu Iftar Dibeli Di Bazar Ramadan TTDI

Wanita Korea bernama Miji Lee yang menetap di Malaysia telah dicabar penonton setia saluran Youtubenya iaitu MIZI COMEL untuk berpuasa. Oleh itu, Miji yang bekerja dalam bidang kecantikan dan kesihatan telah memulakan cabaran tersebut dengan bersahur tepat jam 4 pagi.

Walaupun mengantuk, Miji teruskan bersahur dengan memesan banyak menu di sebuah restoran mamak berdekatan rumahnya. Mengakui penat kerana menahan dahaga dan lapar, Miji sangat teruja ke bazar Ramadan yang terletak di TTDI.

Tanpa disedari, Miji telah membeli 10 menu yang terdiri seperti apam balik, Cha Kuey Tiaw, Murtabak dan otak-otak untuk dirinya seorang saja. Ternyata, Miji sangat berpuas hati dan menimba ilmu serta pengalaman baru dalam berpuasa di bulan Ramadan mengikut cara yang betul.

Menariknya, Miji yang bijak berbicara dalam bahasa Melayu ini mengakui dapat menghayati dan menikmati pengalaman pergi ke bazar ramadhan dan juga dapat membeli pelbagai juadah makanan yang sedap untuk berbuka puasa!

Disamping itu, Miji sangat suka berpeluang ke banyak bazar Ramadan dan sempat memesan supaya orang ramai menjaga SOP sewaktu mengunjungi bazar.


Untuk mengetahui reaksi dan cabaran yang dilalui Miji, anda boleh menonton sendiri video yang dikongsi Miji. Mesti anda rasa seronok dan mahu mengajak Miji yang cantik ini untuk sama-sama berbuka puasa.