Sebelum Banding Gaji Artis Malaysia & Korea, Sebenarnya Artis Korea…

Selepas Perdana Menteri Malaysia,Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN), beberapa Selebriti Tempatan meluahkan rasa dan pandangan masing-masing terhadap status mereka. Dari luahan tersebut, timbul pula setengah pandangan viral yang membandingkan artis Malaysia dan Korea. Ada yang bersependapat dan ada juga bertelagah sesama sendiri. Antara komen artis yang mendapat perhatian adalah Black Hanifah, Tomok dan Acheh.

 

Antara pelakon Korea yang telah menderma kepada mangsa covid-19.

Kenyataan yang paling kecoh dihujah netizen atau warganet ialah Artis Korea Berlumba-lumba Bantu Kerajaan, Artis Malaysia Sebok Nak Bantuan dengan lampiran senarai jumlah wang yang didermakan artis Korea untuk membantu mangsa Covid-19 di Korea Selatan. Dari sudut pandangan ini pula, ia bertambah teruk dan kecoh apabila segelintir selebriti tempatan tidak berpuas hati dan mengatakan artis luar termasuk artis Korea kaya sebab netizen tempatan sendiri. Ada juga yang mengatakan artis Korea sudah sememangnya asal kaya. Walhal artis tersebut tidak tahu pun bagaimana perit menjadi artis Korea.

 

Antara artis Korea yang bergelar penyanyi dan pelakon menghulurkan derma.

Bagi mengenal pasti keadaan ini, EH! KOREA BUZZ terpanggil untuk berkongsi dengan warganet mengenai realiti dan kehidupan sebenar artis di Korea. Mungkin dari fakta ini, anda boleh nilai sendiri sama ada wajarkah perbandingan di buat antara artis Korea dan artis Malaysia. Walaupun mereka memegang jawatan atau status sama sebagai artis, kehidupan dan cabaran yang dilalui ternyata berbeza dari segi budaya dan teknologi.

 

Bintang Kpop yang turut menderma.

 

Sementara itu, dari senarai 50 artis Korea yang menderma itu, hanya segelintir saja adalah bintang Kpop. Kebanyakkan terdiri daripada pelakon atau kedua-duanya sekali. Untuk itu, EH! KOREA BUZZ di Korea Selatan telah menghubungi pakar industri hiburan untuk berkongsi maklumat terhadap isu yang hangat dibahaskan ini.

Tular senarai artis Korea yang telah menderma dengan jumlahnya sekali.

1. Setiap artis di Korea perlu menjalani uji bakat terlebih dahulu sebelum di serap masuk menjadi artis untuk sebuah syarikat pengurusan. Selepas di pilih, mereka akan diberikan tempoh untuk menyiapkan diri dengan menjalani silibus pelajaran sebagai bintang sama ada pengkhususan dalam bidang nyanyian, lakonan, model, produksi dan sebagainya.

 

2. Tempoh pengajian dan latihan ini tidak diletakkan berapa lama. Namun, majoriti bintang Korea harus menjalani latihan paling kurang pun selama setahun sebelum aktif di pentas hiburan. Selalunya, bintang Kpop mengambil masa paling lama menjalani latihan berbanding pelakon dan model .

 

3.Sewaktu menjadi pelatih Kpop, Pelakon dan model, majoriti syarikat besar di Korea tidak memberi sebarang bayaran buat mereka. Sebaliknya, bayaran tersebut di buat secara penyediaan tempat tinggal, tempat latihan, makanan, kenderaan, pakaian dan apa saja perkara yang berkaitan. Namun, ada juga segelintir syarikat akan memberikan sedikit elaun kepada pelatih hiburan.

 

4. Apabila sudah tiba masa untuk aktif atau debut, mereka pula perlu membayar semula hutang iaitu jumlah perbelanjaan yang telah ditanggung pihak pengurusan secara potongan dari jumlah bayaran show yang dilakukan mereka. Potongan 90 % dan 10% telah dikenakan syarikat hiburan terbesar di Korea terhadap sebuah kumpulan yang kini gah dipersada seni. Dari potongan tersebut, artis hanya menerima 10% saja dari jumlah bayaran persembahan. Lagi 90% diterima oleh syarikat pengurusan.

 

5. Ada juga artis beruntung apabila mendapat potongan 70% 30% di awal kemunculan. Itupun tertakluk kepada syarat dan kontrak yang telah ditandatangani artis dan pengurusan tersebut. Pada kebiasaan jumlah 50% 50% , 70% 30% dan 60% 40% hanya akan dibuat selepas artis tersebut berada ditahap memuaskan atau lebih tepat lagi, jumlah hutang terhadap syarikat sewaktu latihan susut.

 

6.  Kebanyakan syarikat besar memberikan bayaran kepada artis secara tahunan iaitu setahun sekali dengan adanya bonus. Bonus juga tertakluk kepada pencapaian artis tersebut. Ada juga bayaran dibuat setengah syarikat secara 3 atau 6 bulan sekali. Amat jarang syarikat di Korea membuat bayaran secara sebulan sekali.

 

7. Gaji artis Korea yang di bawah syarikat juga terpulang kepada nasib individu tersebut. Walaupun sudah debut, mereka tidak akan menerima sebarang gaji seandainya mereka tidak ada jemputan persembahan. Lebih teruk lagi, mereka terus menanggung hutang dan perlu mengeluarkan duit sendiri. Sebab itulah juga, ada sesetengah artis akan membuat kerja secara separuh masa untuk menampung kos seharian.

 

8.Menjadi pelakon ada sedikit keuntungan kerana mereka dibayar terus sebaik saja tamat penggambaran. Kebanyakan mereka dibayar secara per episode. Jumlah peratusan sama ada 60% 40% 50 % 50% atau 70% 30% . Sebab itulah juga, pelakon dilihat lebih kaya berbanding penyanyi dan bintang K-POP. Atas dasar itulah juga, mereka bermurah hati menyalurkan derma dan bantuan kepada kerajaan.

 

9.Sesungguhnya, derma dan bantuan yang dihulurkan juga adalah untuk mengurangkan bebanan membayar cukai yang dikenakan kerajaan. Bukan bermaksud mereka tidak ikhlas menderma, tetapi ia juga demi mengurangkan bebanan pembayaran cukai yang tinggi dikenakan kerajaan.

 

10.Jadi tidak hairanlah anda melihat bintang Kpop popular di Korea tidak semestinya kaya kerana mereka perlu membayar hutang kepada syarikat yang merubah kehidupan mereka dan berbelanja wang yang banyak sebelum ini. Sambungan kontrak juga tertakluk kepada kesabaran artis tersebut.

 

11.Pada kebiasaan, ramai yang tidak sanggup untuk sambung semula kontrak walaupun berjaya dengan syarikat tersebut. Hakikatnya, mereka lebih suka bergerak secara sendiri dengan menubuhkan syarikat pengurusan sendiri. Lebih-lebih lagi kepada artis yang telah mempunyai nama yang stabil dalam industri.

 

 

12. Ada juga artis Korea menyambung kontrak dengan ditandatangani bukan secara artis dan syarikat tetapi secara syarikat artis berkenaan dengan syarikat pengurusan yang terdahulu. Contoh paling ketara Big Bang yang telah sambung semula kontrak dengan YG Entertainment. Kontrak yang ditandatangani empat jejaka ini amat berbeza. GDragon menyambung kontrak secara syarikat dengan syarikat. Dalam kontrak tersebut, GD menerima 80% dari jumlah keutungan dan YG hanya terima 20% saja.

 

 

13.Setiap artis di Korea tidak boleh membuat kontrak secara syarikat dan syarikat melainkan dipersetujui syarikat pengurusan tersebut. Jika wujudkan kontrak syarikat dan syarikat, syarikat yang menjadi milik artis itu adalah syarikat yang didaftarkan sebagai anak syarikat pengurusan tersebut.

 

 

14.Bayaran yang diterima oleh artis di Korea bukan saja dibahagikan antara syarikat dan artis saja. Ia turut dibahagikan dengan pasukan artis berkenaan. Sebagai contoh dari jumlah 30% yang diterima artis, dia perlu bahagikan pula dengan penari dan yang berkaitan.

 

15. Faktor terkuburnya banyak kumpulan dan pertukaran kontrak dari syarikat lama dan syarikat baru lebih menjurus kepada masalah peratusan pembayaran gaji. Hanya 10% saja berkaitan masalah disipilin dan peribadi saja.

Kongsikan artikel ini