Aktor Wakili Korea, AML2020 World Berpotensi Milik Korea Atau Malaysia!

Permintaan yang tinggi terhadap model lelaki dari Korea dalam pasaran Asia Tenggara mengorak langkah baru buat penganjur ALTITUDE MODEL LOOK 2020 (AML) dengan membuka peluang kepada jejaka Korea yang sinonim dengan panggilan Oppa untuk menyertai pertandingan model antarabangsa ini.

AML membayangkan peserta Korea seperti aktor Rowoon.

AML World Grand Final yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 25 Julai 2020, di Bangkok, Thailand turut membuka peluang buat julung kalinya peserta dari Malaysia beraksi dan merebut gelaran juara AML 2020. Memasuki penganjuran kali ke-3, AML 2020 yang dipimpin Thanyasa Tajinda selaku eksekutif produser mengesahkan bahawa pihak penganjur telah pun menerima penyertaan dari 22 buah negara.

Thanyasa Tajinda

Negara tersebut ialah Thailand selaku tuan rumah, Serbia, Czeh Republic (Juara 2019), Afrika Selatan, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, USA, Puerto Rico, US Virgin Islands, Myanmar, Vietnam, Brazil, Kanada, KSA, Laos, Indonesia, India, Mauritius, Nepal, UAE dan Pakistan.Bagaimanapun, penyertaan wakil negara edisi 2020 berkemungkinan besar mencecahkan kepada 25 negara kerana 3 lagi negara iaitu Singapura, Jepun dan China masih lagi dalam peringkat perbincangan. Menurut Tajinda, keputusan tentang penglibatan dari tiga negara ini masih samar kerana virus Covid-19. Apatah lagi, ketiga-tiga ini adalah negara yang paling ramai mangsa di seluruh dunia.

Wajah peserta edisi ke dua.

Menyentuh mengenai peserta dari Malaysia dan Korea, Tajinda yakin bahawa menerima penyertaan yang bagus dari kedua-dua buah negara ini dengan kewibawaan National Director (ND) Korea dan Malaysia yang telah pun sah dilantik baru-baru ini.

“Saya tahu, ND Korea & Malaysia mempunyai pengalaman yang luas dalam industri hiburan dan fesyen di Korea dan Malaysia. Saya percaya kewibawaannya mampu memberikan saingan yang kuat kepada peserta negara lain selepas adanya wakil dari Korea dan Malaysia nanti.

“Saya amat teruja apabila mendapat tahu ada wakil dari Korea. Saya tahu, peserta Korea pasti mendapat sambutan yang baik memandangkan di Asia Tenggara terutama sekali Thailand begitu ghairah menyebut tentang Oppa.

 

“Saya tidak kisah bagaimana rupa peserta dari Korea itu nanti. Sama ada sekacak ahli BTS atau segagah pelakon Korea seperti Hyun Bin atau Rowoon, saya tahu, ia pasti mendebarkan hati ramai pihak. Namun, saya dapat tahu, wakil Korea berkemungkinan besar seorang pelakon,” katanya.

Pemenang tahun lepas.

Bermatlamat untuk membina organisasi yang kukuh untuk ALTITUDE MODEL LOOK KOREA dan Malaysia, pihak penganjur begitu yakin dengan kerjasama profesional dan keupayaan pasukan Malaysia & Korea.

“Selain berharap kerjasama jangka masa panjang dengan pihak Korea dan Malaysia, AML mahu peserta dari Korea dan Malaysia nanti tahu untuk mempromosikan negara masing-masing dalam cabang kehidupan sebagai model dan gaya hidup. Paling penting, tahu apa yang mereka mahukan, tetap fokus, bertanggungjawab dan bekerja keras untuk mencapai matlamat mereka.

 

“Selain oppa,  kami juga teruja mahu tahu peserta dari Malaysia kerana Malaysia adalah negara jiran Thailand yang akrab. Kami masih menantikan ND Korea & Malaysia untuk memberi keputusan tentang wakil Malaysia kerana kami diberitahu proses pencarian masih lagi dijalankan.

“ Kami merasakan peserta Korea dan Malaysia mempunyai potensi besar dalam AML nanti. Bukan nak riak, tapi AML mampu mengubah hidup peserta nanti. Kami bukan menjadi pemenang semata-mata, tapi kami mencari bintang model dan merealisasikan impian menjadi realiti,” jelasnya.

Juara 2019 dari Czeh Republic.

Syarat untuk menyertai pertandingan ini adalah lelaki berusia antara 19 hingga 35 tahun. Tinggi pula mestilah 180 sentimeter ke atas. Peserta yang berminat boleh hubungi National Director Korea & Malaysia. Peserta yang terpilih akan diberikan kursus dan pengajian dalam bidang peragaan.

Kongsikan artikel ini