Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Pereka fesyen tempatan, Anas Abdullah yang banyak menyerikan hidup selebriti tempatan termasuk Dato’ Seri Siti Nurhaliza dengan busana yang eksklusif kini terus melebarkan sayap ke peringkat dunia.
Menerusi jenama kolaborasi baru dengan selebriti Korea kelahiran Malaysia, Anas bakal mengeluarkan NAMCIN iaitu koleksi pakaian lelaki. Koleksi tersebut bakal berada di pasaran sebelum menjelang pertandingan model bertaraf dunia iaitu Altitude World Supermodel 2020 (AWS) di Bangkok, Thailand pada 19 hingga 24 Oktober 2020.
NAMCIN yang diambil dari perkataan Korea iaitu teman lelaki dicipta khusus buat kaum adam yang menginginkan gaya trendy tetapi tidak sarat. Koleksi ini juga bakal digayakan peserta dari Korea untuk merebut gelaran AWS 2020 dan juga fesyen terbaik. Selain dari peserta Korea, peserta dari Malaysia turut sama mengayakan jenama tersebut pada pertandingan berprestij yang dianjurkan kali ke-3.
Dari koleksi ini, NAMCIN juga akan mengetengahkan rekaan yang melambangkan Korea dan Malaysia. Lambang dari Korea dan Malaysia belum lagi dipilih kerana Anas mahu netizen mencurahkan idea bagi memilih simbolik yang betul-betul sesuai dengan kedua-dua negara tersebut. Pertandingan pemilihan simbol itu masih lagi dijalankan di instagram Anas Abdullah dan National Director Korea, Hyunmin-A.
Selain sibuk dengan persediaan AWS, Anas juga sepatutnya dijadualkan bertolak ke Paris pada September 2020 untuk mewakili Malaysia ke Paris Fashion Week 2020. Bagaimanapun, perancangan tersebut terbantut apabila pertunjukan fesyen itu terpaksa di batalkan kerana Covid-19.
Bagaimanapun, rezeki tetap menjadi milik bakal bapa kepada anak kembar kerana pihak penganjur masih lagi memilih Anas Abdullah untuk mewakili Malaysia ke Paris Fashion Week 2021 pada September 2021. Menerusi pemilihan ini, Anas perlu mengetengahkan lebih 40 rekaan yang menarik dan berkualiti.
Berkemungkinan juga, Anas bakal menggabungkan koleksi terbaik NAMCIN dengan diolah ke arah lebih tinggi untuk ke Paris Fashion Week 2021. Keterujaan ini dikongsi Anas di laman sosialnya yang kini juga dihujani ucapan tahniah dari pelanggan dan penggemar fesyen Anas Abdullah. Lebih istimewa, koleksi SUCCI by Anas Abdullah turut mendapat sambutan menggalakkan sepanjang Ramadan dan Syawal kerana jenama ini dilancarkan bagi konsep bergaya sambil menderma kepada Persatuan Sindrome Down Malaysia.
Adakah Anas akan membawa model-model dari Korea untuk mengayakan fesyen tersebut? Siapa pula model Malaysia yang terpilih? Semuanya kena tunggu pengumuman selanjutnya dari designer kecil molek yang menanti anak ketiga iaitu pasangan kembar.