Wow! Elly Mazlein Menyusul Keluar Lagu Korea Melayu Selepas Hanbyul & Hyunmin-A

Selepas berjaya mengeluarkan single terbaru bersama Faizal Tahir dan Zizi Kirana berjudul Empat Dara, Elly Mazlein yang kini glamor dengan panggilan Kak Lina Pompom mengejutkan peminat dengan lagu baru berjudul Dusta Cinta.

Apa yang mengejutkan peminatnya ialah lagu tersebut dinyanyikan Kak Lina dalam bahasa Korea. Lagu yang digubah oleh Aina Abdul ini difahamkan akan mula boleh didengar sepenuhnya pada 26 Februari di semua aplikasi digital. Manakala muzik video pula mula disiarkan di youtube pada 27 Februari.


Selepas dua video teaser disiarkan di laman Instagram, ramai peminat Kak Lina teruja termasuklah rakan artis seperti Haiza Hanafi dan Wanie Kayrie. Pun begitu, ramai tertanya-tanya adakah lagu ini dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Korea atau campuran.

Menurut sumber terdekat, lagu tersebut bakal dilancarkan dalam dwi bahasa yang mana bahasa Melayu dan bahasa Korea. Dalam kemaskini terbaru, Kak Lina turut menuliskan lirik tersebut dalam bahasa Korea yang mana majoriti peminatnya tidak faham. Pun begitu, ada juga peminat merasakan Kak Lina ingin tembusi pasaran Korea dengan lagu terbaru ini.


Apa yang pasti, tindakan Kak Lina mengeluarkan lagu Melayu dan Korea ini telah pun dilakukan terlebih dahulu oleh Hanbyul ketika dia menjadi juara Big Stage musim kedua. Lagu tersebut adalah Luka & Bahagia. Walaupun lagu itu popular dan diminati, ramai peminat keliru punca lagu ini tidak dicalonkan dalam juara lagu. Adakah disebabkan penyanyi atau bahasa?

Walau bagaimanapun, Hanbyul juga telah mengeluarkan lagu dan album baru pada Januari lalu selepas dia dibawah pengurusan baru di Korea. Selang beberapa hari selepas Hanbyul, kawan dan bekas pengurusnya di Malaysia, Hyunmin-A juga muncul dengan lagu baru berjudul Vaksin pada 21 Januari 2021. Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh komposer tempatan dan liriknya ditulis sendiri oleh penyanyi ini.


Vaksin boleh didengari di semua digital platform seluruh dunia dan dinyanyikan dalam dua bahasa iaitu Melayu dan Korea. Menariknya, ramai peminat menangis mendengar lagu Vaksin kerana ia dikatakan berkaitan cerita benar yang melibatkan kematian penyanyi popular Korea.

Apa sekalipun, warna muzik Malaysia telah diwarnai dengan lagu Melayu dan Korea yang diharap dapat menaikkan muzik Melayu ke peringkat global sama seperti lagu KPOP. Yang penting, playlist lagu Melayu Korea bertambah dari Luka & Bahagia ke Vaksin dan terbaru Dusta Cinta. Tapi kenapa semua lagu sedih?

Kongsikan artikel ini