Tiada Peserta Dari Korea, Oppa Celup & Frontliner Sertai Big Stage Musim 3?

Kemenangan Jang Han Byul dalam program Big Stage musim kedua bukan saja memberikan impak luar biasa bagi program baru di Astro Ria ini. Malah, ramai pembenci Korea jadi minat kepada penyanyi Korea yang disangka sebelum ini hanya menjual rupa saja. Dalam erti kata lain, penglibatan Han Byul berjaya merubah persepsi dan menonjolkan penyanyi asal Korea nyata berbakat besar.

Justeru itu, ramai peminat Korea teruja dan berharap penganjuran musim ketiga Big Stage masih lagi ada peserta dari Korea Selatan. Pun begitu, menurut sumber dalam dari program tersebut, harapan peminat muzik Korea untuk melihat peserta Korea beraksi dalam musim ketiga terbantut. Difahamkan, Big Stage 3 sudah pun muktamad memilih peserta baru yang dikhabarkan lebih ramai lelaki berbanding wanita.

Dari barisan peserta tersebut, tiada kewujudan peserta dari luar negara termasuklah Korea. Keputusan ini dilaksanakan oleh pihak produksi disebabkan Malaysia masih lagi belum buka pintu untuk orang luar datang ke Malaysia. Lagi pun mereka tidak mahu menanggung risiko menjadi penyebab penularan wabak Covid-19 dari pintu antarabangsa.

Kenangan terindah Hanbyul.



Merisik tentang format musim ketiga, pihak tersebut memaklumkan bahawa konsep berubah demi mengikut ketetapan SOP. Namun, jenis perubahan tersebut masih belum lagi dinyatakan sebaliknya mereka sebenarnya bakal mengumumkan barisan peserta pada Ogos ini atau selepas Hari Raya Aidil Adha. Berkemungkinan Big Stage akan menyelit konsep program suara viral yang sedang berlangsung sekarang ini.

Memandangkan resepi menjemput peserta dari Korea berjaya mencipta rekod baru, pihak produksi dikatakan telah memilih peserta yang ada iras jejaka Korea. Dalam erti kata lain, sekali pandang seperti Oppa tetapi dia hanyalah Oppa Celup. Oppa celup berkenaan sebenarnya pernah menyertai sebuah pertandingan nyanyian di saluran milik kerajaan, Malah, dia juga pernah tular dan bertugas sebagai frontliner.

Selain oppa celup ini, ramai juga peserta baru Big Stage datang dari program realiti stesen TV yang lain. Terdetik di sini, adakah juara Big Stage 3 juga akan mendendangkan lagu KPOP seperti juara musim pertama dan musim kedua? Tunggu dan lihat sajalah….

Kongsikan artikel ini