Selepas mendedahkan perkara sebenar di sebalik kemelut dan kontroversi yang berlaku ke atas dirinya dan keluarga, Daud Kim atau Kim Jae Han terus mendalami Islam. Walaupun kehilangan ramai kawan dan kepercayaan dari orang sekeliling termasuk bangsa sendiri sejak skandal didedahkan, Daud yang merupakan pemegang Ijazah muzik tidak melatah dan akur dengan dugaan hidup sebagai mualaf.
Difahamkan, Daud tabah menghadapi dugaan yang datang dari kesilapannya namun dia tergugat dan sedih apabila anak kecilnya yang baru berusia tiga tahun turut dikecam. Walaupun Daud pernah berpisah dengan isteri dan anaknya, kini mereka kembali seperti sedia kala. Malah, mereka berkahwin dan bernikah semula cara Islam.
Lebih menggembirakan, isteri dan anaknya juga sudah pun bergelar mualaf. Pun begitu, Daud masih lagi belum memberikan nama Islam buat anaknya yang bernama Seunu atau Jason. Dalam pada itu, Daud juga bersyukur kepada Maha Pencipta apabila menerima rezeki yang bermakna selepas kembali menjadi suami kepada Mia.
Menurut Daud Kim, isterinya kini sah hamil sebulan. Bagaimanapun, jantinanya masih lagi rahsia walaupun pemeriksaan doktor mengesahkan bukan anak kembar. Di sebalik kegembiraan ini, Daud berharap dikurniakan anak lelaki lagi.
Harapan tersebut kerana mahu anak keduanya itu menjadi teman baik anak sulungnya yang kini masih belum berpeluang mendaftar sekolah kerana skandal melibatkan dirinya. Apa sekalipun, Daud berharap dia sekeluarga terus dilindungi dan menerima hidayah sebagai mualaf baru.