Mungkin ramai tidak tahu, menjadi imam di Korea bukannya mudah apatah lagi tinggal di negara yang bukan Islam. Walaupun berimej lelaki beriman dan mempunyai ciri seorang Imam, ia bukan bermakna individu tersebut adalah Imam yang sah di Korea. Sebaliknya, setiap imam di Korea wajib menerima pengiktirafan rasmi dari KMF (Korean Muslim Federation).
Terbaru, ramai pengikut Mualaf Korea mula sangsi pula dengan individu Mualaf Korea yang sering berhujah tentang Islam. Kesangsian ini mula bangkit apabila kes tular yang melibatkan Daud Kim telah mengheret ramai individu tidak bersalah dalam isu penipuannya. Difahamkan, kebanyakan mereka tidak lagi mahu ditipu dan tertipu.
Untuk menjawab kesangsian tersebut, anda bolehlah menghubungi pihak KMF kerana apa saja berkaitan Islam di Korea diketahui pihak mereka. Jadi, seandainya berita atau info tentang Islam tidak diketahui KMF itu bermakna berkemungkinan besar maklumat yang diterima tidak sah dan tidak tepat.
Apa yang pasti, satu-satunya Imam yang dipercayai dan diiktiraf adalah Imam Abdul Rahman yang banyak memuat naik video tentang Islam di Korea serta menjadi imam besar masjid yang terletak di Itaewon. Apa sekalipun, KOREA BUZZ difahamkan Imam yang diiktiraf di Korea tidak semestinya bangsa Korea, sebaliknya ada juga bangsa asing yang telah lama menetap di Korea.
Oleh itu, pihak komuniti Islam di Korea harap pihak yang suka menonton video tular tentang Islam di Korea dan melibatkan orang Korea supaya jangan mudah terpedaya dan percaya. Ini kerana masih lagi ada spesies yang menggunakan Islam untuk mencari nama dan populariti walhal semua yang dikatakan adalah palsu dan lakonan semata-mata.