Dalam era populariti Korea yang melanda seluruh dunia, banyak platform muncul untuk menghubungkan orang ramai dengan selebriti dan figura dari Korea. Namun, jangan terpedaya dengan platform-platform ini, kerana segelintir daripadanya hanya bertujuan untuk menipu dan mengaut duit anda. Walaupun begitu, terdapat juga platform yang boleh dipercayai dan telah membantu ramai orang bertemu jodoh dan teman baik dari Korea.
Terbaru, sebuah platform yang semakin popular, K-Friends, telah menarik perhatian ramai, termasuk anak muda dari Malaysia. Namun, berhati-hatilah kerana aplikasi ini penuh dengan sindiket penipuan.
Beberapa mangsa telah berkongsi pengalaman mereka, di mana akaun-akaun tertentu melayan mereka dengan sangat mesra dan kemudian meminta nombor WhatsApp. Selepas menjalin ‘persahabatan’ yang mesra, ‘oppa’ ini akan menawarkan hadiah dan meminta alamat serta nama penerima.
Berhati-hatilah jika anda menerima panggilan daripada ‘syarikat penghantaran’ yang mengesahkan hadiah tersebut tetapi tidak memberikan nombor penjejakan. Apabila penerima enggan menerima hadiah itu, mereka akan diberi pelbagai alasan, termasuk bahawa hadiah telah dihantar dalam masa beberapa minit – sesuatu yang mustahil. Jika penerima cuba menolak hadiah tersebut, ‘oppa’ ini akan mula menunjukkan emosi dan akhirnya menyekat penerima.
Lebih mengejutkan, penerima akan diganggu oleh mesej dari ‘penipu’ yang mengaku sebagai pihak FBI atau Interpol. Sebenarnya, penerima sudah mula curiga apabila mendapati nombor yang digunakan oleh ‘oppa’ ini adalah dari Kanada, bukannya Korea. Semua nombor yang menghubungi penerima, termasuk dari ‘syarikat penghantaran’ dan ‘FBI Interpol’, juga berasal dari Kanada.
Kes ini sudah banyak kali terjadi, dan berkemungkinan ‘lelaki Korea’ ini bekerja dengan sindiket penipuan atau identitinya telah disalahgunakan tanpa pengetahuannya.
Adakah anda atau sesiapa yang anda kenali pernah menjadi mangsa kepada ‘lelaki Korea’ ini? Berhati-hatilah dan sentiasa waspada dengan penipuan yang licik ini.