Pelajar jurusan perniagaan dari Universiti Korea, Chani atau nama sebenarnya Go Byeong Chan yang tidak sampai tiga bulan memeluk Islam meluahkan rasa kecewa di laman instagramnya malam tadi.
Kekecewaan tersebut bukanlah atas dasar cabarannya kali pertama menjalani ibadah puasa, sebaliknya dia sedih pandemik COVID-19 yang berlaku tatkala ini menyukarkan dirinya untuk berkunjung ke Masjid.
Walaubagaimanapun, Chani yang berusia 20 tahun ini mengumumkan secara langsung bahawa dirinya terkejut kerana tidak menyangka dapat berpuasa dengan baik sekali. Malah, dia berasa dengan berpuasa, dirinya tambah sihat dan tenang.
Dalam pada itu, Chani yang masih mengunakan nama Koreanya turut memberitahu kepada pengikut saluran Youtubenya bahawa buat sementara waktu dia tidak dapat mengemaskini kandungan video kerana jadual harian sebagai mahasiswa. Malah, Chani yang menetap di Pulau Jeju menyatakan sedang dalam proses membuat video terbaik dan berinfomasi untuk penonton sentiasa.
Sementara itu, Chani pernah menyatakan hasrat seandainya tiada pandemik, dia teringin ke negara Islam dan mempelajari lebih terperinci tentang Islam. Malah, dia juga turut berminat untuk datang ke Malaysia untuk tujuan yang sama.
Seandainya anda mahu lebih dekat bersama Chani, anda boleh mengikuti saluran youtubenya atau follow Instagram jejaka comel ini. Menurutnya, dia masih lagi merangkak dan terus mahu belajar tentang Islam.