Pernah tular kerana cubaan berpuasa penuh sebelum ini, kali ini gadis Korea yang menetap di Malaysia, Miji Lee mengejutkan pengikutnya dengan mendendangkan lagu dari legenda Tan Sri P. Ramlee berjudul Getaran Jiwa.
Lagu yang didendangkan youtuber yang sebelum. Ini fokus pada dunia kecantikan mendapat perhatian ramai kerana sebutan Melayu yang persis macam gadis Melayu. Malah, alunan suara Miji menerusi lagu berkenaan dikategorikan sangat menusuk jiwa dan gemersik suaranya.
Cara nyanyian yang dipersembahkan Miji menerusi video yang dikongsi di saluran youtubenya iaitu MIZI COMEL mengingatkan kembali zaman di mana penyanyi Elizabeth Tan ketika mendendangkan lagu raya dari Biduanita Saloma berjudul Selamat Hari Raya.
Menerusi penularan lagu tersebut, bakat Elizabeth terus berkembang dan kini menjadi antara penyanyi dan selebriti Malaysia yang popular serta mempunyai ramai pengikut. Bercakap mengenai suara Miji, ia mirip suara Elizabeth Tan.
Jadi tidak hairanlah, mungkin Miji Lee bakal bergelar penyanyi di Malaysia seandainya ramai meminati cara wanita ini menyanyikan lagu Melayu. Sebelum mengejutkan dengan nyanyian Getaran Jiwa, Miji yang mengakui seronok mempelajari bahasa Melayu dengan menyanyi pernah cuba menyanyi secara langsung lagu berjudul Malam Bulan Dipagar Bintang.
Apa yang pasti, kedua-dua persembahan dan nyanyian Miji tidak mengecewakan walaupun dia bukanlah penyanyi dan baru pertama kali mencuba menyanyikan lagu bahasa Melayu. Anda boleh menilai sendiri sama ada suara dan sebutan Miji persis gadis Melayu dengan menonton video berkenaan.