KUALA LUMPUR: Menjelang ujibakat Manhunt Malaysia 2024 yang bakal diadakan esok, 10 Ogos 2024, di MYS STUDIO Puchong, pemenang tahun 2022, Edward Kong, tampil dengan mesej penuh inspirasi kepada semua yang bercita-cita menjadi model: “Jangan lepaskan peluang ini untuk bersinar!”
Edward, yang berjaya merangkul gelaran juara dalam pertandingan Manhunt Malaysia 2022, berkongsi kisah perjalanannya dari seorang peserta yang berharap kepada wakil antarabangsa bagi Malaysia.
Mengenang kembali motivasinya untuk menyertai pertandingan itu, Edward berkata, “Pada mulanya saya menyertai Manhunt untuk memberi peluang kepada diri saya untuk menceburi bidang modeling. Lagi pun, saya lihat saya ada ciri-ciri untuk menjadi model. Sebab itulah saya cuba nasib dalam Manhunt tahun 2022.”
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan tekanan, Edward tetap teguh, mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi pertandingan yang mencabar.
“Selepas cuba, pelbagai cabaran yang saya hadapi, dan saya bersedia dari segi mental dan fizikal. Saya sendiri tak menyangka terpilih sebagai pemenang dan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa,” ujarnya, menekankan bahawa perjalanan menuju kejayaan bukanlah mudah tetapi amat memuaskan.
Edward turut menekankan betapa pentingnya sokongan daripada orang sekeliling. “Waktu terpilih juga, saya sebenarnya bukanlah sudah sedia sepenuhnya, tapi atas sokongan dan tunjuk ajar dari rakan sekeliling serta bantuan daripada National Director, saya berjuang demi negara,” katanya.
Dalam mesej penuh ikhlas kepada mereka yang sedang mempertimbangkan untuk menyertai ujibakat, Edward memberi nasihat yang amat berharga:
“Jangan takut. Jangan fikir wajah tak kacak atau badan tidak lawa, kerana itu semua ada masa untuk diperbaiki. Yang penting untuk audition esok, anda hanya perlu bersiap sedia menjadi diri anda. Tunjukkan apa yang ada pada diri anda.”
Pengalaman Edward di peringkat antarabangsa juga mengingatkan bahawa keyakinan adalah kunci, walaupun berhadapan dengan pesaing yang nampaknya lebih hebat.
“Terus-terang, masa saya bertanding di peringkat antarabangsa, saya sendiri ada kurang yakin apabila melihat semua peserta dari negara lain. Walaupun ketinggian saya 183 yang sudah dikira tinggi juga di Asia, tetapi saya jumpa lagi banyak orang yang lebih tinggi, kacak, dan seksi dari saya,” katanya. Namun, Edwadr menjadikan cabaran ini sebagai motivasi untuk memberikan yang terbaik.
Selepas kemenangannya dalam Manhunt, kerjaya peragaan Edwadr terus berkembang, dengan salah satu momen paling membanggakan adalah apabila beliau dipilih menjadi model untuk George Town Fashion Week.
“Selepas berjaya dalam Manhunt, saya banyak menjadi model. Dan moment paling gembira apabila saya dipanggil menjadi model untuk George Town Fashion Week,” kongsinya, menggambarkan keterujaan berada di atas pentas dan kegembiraan melihat ramai orang menyaksikan persembahannya.
Menjelang ujibakat esok, kata-kata akhir Edward jelas: “Sekali lagi saya nasihatkan, jangan malu untuk datang ujibakat esok. Tunjukkan diri anda, dan kalau terpilih, akan ada orang yang akan bantu anda untuk mengharumkan nama Malaysia.”
Dengan babak baru Manhunt Malaysia bakal bermula, para model yang bercita-cita di seluruh negara diseru untuk mengikuti jejak Edward Kong dan mengambil peluang ini untuk mencipta nama di pentas dunia. Jangan lepaskan peluang ini—mungkin inilah saat anda untuk bersinar!