Wakil Malaysia, Justin Ho Menang TOP Commercial Model AWS 2022! Terus Diintai Jenama Dolce & Gabana

Pertandingan Model peringkat antarabangsa, Altitude World Supermodel 2022 (AWS2022) yang berlangsung di Bangkok Thailand bermula 29 Mei telah melabuhkan tirai pada malam 4 Jun dengan mengumumkan peserta dari Korea, Paul An muncul sebagai juara dalam kategori lelaki. Manakala, peserta dari Vietnam pula muncul juara kategori wanita.

Wakil sulung dari Malaysia, Justin Ho yang baru saja menjinakkan diri dalam bidang peragaan selepas jadi juara AWS Malaysia 21/22 ternyata memberikan saingan sengit dalam pertandingan berkenaan. Justin yang berusia 22 tahun baru saja tamat pengajian di institusi pendidikan tempatan tidak pulang dengan tangan kosong dalam pertandingan ini.

Dia yang berketinggian 183 sentimeter dan mempunyai wajah kacukan cina, korea dan Jepun telah memenangi kategori TOP Commercial Model AWS 2022. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri dalam golongan lima teratas, anak muda kelahiran Terengganu ini sudah diintai jenama antarabangsa iaitu Dolce & Gabana sehari selepas pertandingan ini tamat.

Difahamkan, Justin menerima jemputan berkenaan  sebagai model untuk pertunjukan fesyen jenama terkenal itu yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini di Thailand. Bagaimanapun, tawaran berkenaan masih dalam peringkat awal lagi kerana Justin bakal bersaing dengan model antarabangsa yang lain termasuklah juara AWS 2022, Paul An.

Antara aksi Justin Ho dipentas final AWS 2022.

Apa yang pasti, Justin yang menggayakan pakaian tradisional rekaan Dato Sri Anas Abdullah bertemakan pahlawan Melayu sepanjang AWS 2022 mengalami pengalaman indah apabila ramai menyangka dia peserta dari Korea Selatan. Lebih menarik lagi, Justin juga dikatakan ada menyerupai bintang terkenal dari Thailand.

 

Semoga kerjaya baru Justin sebagai model terus berkembang walaupun tidak menjadi juara AWS22. Sedikit sebanyak, Justin telah mengharumkan nama Malaysia dalam persada peragaan dunia. Mungkin benar kata orang, kalah bukan penentu kejayaan sebaliknya ramai bukan juara pertandingan terus kecapi kejayaan jika di jalan yang benar.

 

Kongsikan artikel ini