Penyertaan Altitude World Supermodel Malaysia (MY AWSM) sepatutnya sudah pun tutup pendaftaran. Bagaimanapun, disebabkan para juri tetap seperti Emel Ismail, Dato’ Sri Anas Abdullah dan Marini Mat Zain masih belum berpuas hati, pencarian masih lagi diteruskan.
Pada penghujung minggu lalu, salah seorang juri yang bergelar juru solek selebriti di Malaysia atau pernah jadi juru solek rasmi Hanbyul, Emel Ismail telah terjah beberapa buat pusat beli belah di Kuala Lumpur untuk mencari calon yang lebih layak.
Mengikut syarat utama, peserta mestilah berketinggian 180sm ke atas dan berstatus bujang. Kunjungan Emel dari Mall seperti Pavillion, Berjaya Times Square, Sungei Wang, Sunway Velocity, Sunway Pyramid dan Mid Valley ternyata membuka mata bahawa ramai sebenarnya lelaki Malaysia yang berketinggian 180sm ke atas.
Bagaimanapun, kekecewaan terbit apabila kesemua lelaki yang mempunyai ketinggian sedemikian rupa sudah pun berkahwin dan berstatus bapa orang. Kesedihan terus melanda apabila ramai yang kacak, susuk tubuh cantik dan menawan semuanya berketinggian purata antara 165 hingga 173 sm saja.
Pencarian Emel diteruskan dan dia ditemani penyanyi dan pengacara AWSM Korea iaitu Cash Farhan. Dari pencarian tersebut, Emel berjaya menemui seorang bakal peserta yang berketinggian 188 sm. Masih belum boleh menarik nafas lega, pencarian akan diteruskan pada Sabtu dan Ahad ini iaitu 13 dan 14 Nov 2021.
Kepada yang berminat untuk menjadi peserta anda bolehlah isi borang yang disediakan di sini atau hubungi para juri AWSM. Selain bergelar juara dan wakil Malaysia ke pentas dunia, Kontrak bernilai RM200k menanti kepada peserta AWSM Malaysia.